Datuk Maria Chong (tiga dari kanan) mewakili Datuk James Ratib
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Bin Ratib berkata, pelbagai pendekatan dan program telah dilaksanakan kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti tabika perpaduan secara insklusif.
Pada 24 Julai 2021, katanya, Kementerian Perpaduan Negara telah melancarkan Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021 – 2030 di mana matlamat pelan ini adalah untuk memperkukuhkan dan memantapkan peranan tabika perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak dalam memperkembangkan potensi serta melahirkan kanak-kanak yang mempunyai semangat patriotisme dan mengamalkan nilai-nilai murni.
“Melatih kanak-kanak harus bermula di awal usia kerana pada awal usia, kanak-kanak ini lebih mudah dibentuk. Tabika perpaduan adalah satu tempat di mana kanak-kanak mendapat pendidikan di peringkat awal usia.
“Menyedari hakikat ini, kanak-kanak perlu didedahkan dengan pelbagai aktiviti pembelajaran untuk mempercepatkan lagi perkembangan kanak-kanak.
“Pelaksanaan aktiviti di tabika seperti tarian, nyanyian, rekacipta, persembahan boneka, puisi dan sajak, action song, taridra dan banyak lagi amatlah sesuai dengan perkembangan kanak-kanak,” katanya.
Menurut beliau, program ini memastikan perkembangan kanak-kanak secara holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, keaktifan, disiplin serta inovasi.
Apa yang pasti, katanya, program-program yang dirancang ini haruslah berunsurkan elemen perpaduan, kenegaraan dan nilai-nilai murni.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Konvokesyen Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Daerah Kota Kinabalu Bagi Tahun 2024 yang diadakan di sini pada Sabtu.
Beliau diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Maria Chong.
Pelaksanaan majlis konvokesyen tersebut, katanya, adalah salah satu penghargaan kepada usaha dan bakat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak selama ini setahun ini.
“Pada kesempatan ini saya ingin menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih saya kepada semua warga pendidik tabika perpaduan Daerah Kota Kinabalu. tanggungjawab menjaga kanak-knak bukanlah hal yang mudah.
“Tahniah atas penganjuran program yang sungguh bermanfaat ini. Program ini pastinya akan sentiasa memberikan semangat dan motivasi kepada sesiapapun sama ada kanak-kanak, ibu bapa atau warga jabatan sekalipun untuk terus bergerak maju pada masa hadapan.
“Pastinya, sepanjang setahun yang lepas, kanak-kanak telah menunjukkan potensi masing-masing. Mungkin sepanjang tempoh tersebut, ada dalam kalangan kanak-kanak yang menonjol dalam pembelajaran dan sebahagian lagi lebih menonjol dari segi bakat seni atau bakat sukan.
“Perkara-perkara ini perlu dihargai. Sebab itu, sepanjang majlis pada hari ini, pelbagai penganugerahan diberikan kepada kanak-kanak. Walaupun ini mungkin kelihatan kecil, namun bagi kanak-kanak ia suatu yang cukup bermakna,” katanya.
Tambah beliau, ini pastinya akan memberikan semangat yang berterusan kepada mereka untuk melangkah ke alam yang pembelajaran yang selanjutnya, di samping memberikan keyakinan dan semangat kepada kanak-kanak untuk melangkah ke alam sekolah rendah.
Beliau menambah, tanggungjawab terhadap pembentukan diri kanak-kanak adalah tanggungjawab kita bersama. Ibu bapa adalah cerminan sebenar kepada kanak-kanak.
Tambahnya, banyak perkara yang dilakukan oleh ibu bapa akan diikuti oleh kanak-kanak. Dorongan ibu bapa amat penting untuk membolehkan kanak-kanak sentiasa bersemangat ke tabika dan seterusnya berjaya pada masa hadapan.
“Saya juga ingin mengingatkan agar ibu bapa sentiasa aktif dalam kegiatan-kegiatan di tabika. penglibatan dalam jawatankuasa penyelaras tabika amatlah perlu bagi mewujudkan hubungan yang akrab antara tabika dengan ibu bapa.
“Aktiviti seperti mesyuarat, gotong royong, aktiviti lawatan dan sebagai adalah program yang memerlukan penglibatan ibu bapa. Sekurang-kurangnya, ibu bapa juga dapat membantu memantau perkembangan kanak-kanak.
“Kerjasama yang erat antara ibu bapa dan institusi tabika yang boleh menjamin masa depan yang baik dalam kalangan kanak-kanak,” jelas beliau.



