25 C
Kota Kinabalu
Selasa, November 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

UPKO tinggalkan Pakatan Harapan, fokus agenda “Sabah First”

SEPAKAT DEMI “Sabah First”..EWON (duduk tengah) bersama Ahli Majlis Tertinggi UPKO menunjukan tanda sepakat keluar daripada PH dalam mesyuarat AMT sebentar tadi di Penampang.


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan keputusan mengejut untuk keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta, sekali gus menandakan peralihan besar dalam landskap politik Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).


Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Angang dalam kenyataan rasmi malam ini memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO meneliti dengan serius hala tuju perjuangan parti yang berteraskan agenda Sabah First dan keperluan memperkukuh penyatuan parti-parti tempatan Sabah.

Menurut beliau, keputusan UPKO meninggalkan PH turut mengambil kira jurang pandangan yang semakin melebar antara UPKO dengan parti-parti komponen PH di peringkat nasional, khususnya berhubung pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta isu autonomi pentadbiran PH Sabah yang gagal direalisasikan.

Nelson berkata, meskipun UPKO telah berusaha memperjuangkan agenda Sabah First sepanjang empat tahun bersama PH, termasuk dalam rundingan manifesto pilihan raya dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, namun semangat itu tidak diterjemahkan dengan sewajarnya di peringkat nasional.

“Sepanjang tempoh ini, berlaku jurang interpretasi, pandangan dan pendirian antara UPKO dan parti-parti komponen PH

“UPKO percaya hanya parti-parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami denyutan nadi, jiwa dan masa depan rakyat negeri ini berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, UPKO menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Presidennya, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi baru-baru ini. Tindakan itu, menurut Nelson, adalah manifestasi ketegasan prinsip parti terhadap pendirian Jabatan Peguam Negara dalam prosiding semakan kehakiman berkaitan hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.

Nelson turut menzahirkan rasa kesal terhadap kedudukan UPKO dalam PH Sabah yang tidak pernah disahkan secara rasmi oleh Majlis Presiden PH walaupun UPKO menang dalam pemilihan kepimpinan gabungan itu. Sebaliknya, katanya, PH pusat hanya melantik Presiden UPKO sebagai penyelaras (coordinator), manakala keputusan penting termasuk persiapan pilihan raya diputuskan oleh PKR tanpa mengambil kira autonomi PH Sabah.

Beliau menegaskan, keputusan keluar daripada PH ini bukan langkah tergesa-gesa, tetapi satu tindakan berprinsip demi memastikan perjuangan sebenar hak Sabah dapat digerakkan bersama parti-parti tempatan yang berkongsi aspirasi Sabah First.

“UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus hasil Sabah adalah entiti yang berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan

“Kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan yang mahu memperjuangkan pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963,” jelas beliau.

Meskipun meninggalkan PH, Nelson menegaskan bahawa kedua-dua Ahli Parlimen UPKO, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar kestabilan Kerajaan Persekutuan dikekalkan sehingga tamat penggal ini.

Keputusan berani UPKO ini dilihat bakal memberi kesan terhadap dinamik politik Sabah, dengan tumpuan kini terarah kepada sejauh mana parti-parti tempatan lain bersedia untuk bergabung di bawah panji Sabah First demi mengembalikan suara dan kuasa sebenar rakyat negeri di bawah bayu itu.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN