25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

RM17 Bilion Bukan Pengganti Hak 40 Peratus Sabah: Dr. Awang Faisal


KOTA KINABALU: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Persekutuan mengutip RM10 bilion hasil daripada Sabah dan membelanjakan RM17 bilion kembali kepada negeri ini, telah mencetuskan semula perbahasan hangat mengenai kedudukan hak fiskal Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Naib Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Dr. Awang Faisal Assyiffa (gambar), menegaskan bahawa jumlah perbelanjaan besar itu tidak boleh disamakan dengan hak pulangan hasil 40 peratus yang dijamin Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 24(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh.

“Hak 40 peratus bukan dasar politik atau ihsan, tetapi kewajipan perlembagaan yang diwujudkan bagi memastikan Sabah mempunyai kemampuan fiskal setara dengan negeri lain dalam Persekutuan Malaysia, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sebarang perbelanjaan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan di Sabah tidak boleh dianggap sebagai bayaran balik hasil seperti yang termaktub dalam undang-undang tertinggi negara.

Dr. Awang Faisal bagaimanapun mengiktiraf kesungguhan Perdana Menteri dalam memberi perhatian terhadap pelaksanaan hak fiskal Sabah yang tertangguh hampir lima dekad.

Menurutnya, pendekatan inklusif dan terbuka yang digerakkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui rundingan antara Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Sabah merupakan langkah positif ke arah penyelesaian sebenar.

Beliau turut memuji ketegasan dan diplomasi berhemah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam memperjuangkan hak negeri tanpa mencetuskan konfrontasi politik.

“Kedua-dua pemimpin ini sedang meletakkan asas kepada penyelesaian yang praktikal dan berpaksikan undang-undang

“Ini membuktikan bahawa perjuangan untuk hak Sabah boleh digerakkan melalui kerjasama, bukan pertentangan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr. Awang Faisal mencadangkan beberapa langkah konkrit bagi memastikan pelaksanaan hak 40 peratus menjadi realiti pentadbiran yang telus dan lestari.

Antara cadangan itu termasuk penubuhan Jawatankuasa Semakan Fiskal Persekutuan dan Negeri (JSFPN) yang dianggotai Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Kewangan Sabah, Jabatan Audit Negara serta pakar bebas bagi mengesahkan data hasil sebenar Sabah setiap tahun.

Beliau turut mencadangkan supaya takrifan standard “hasil bersih” diperjelas agar tiada percanggahan tafsiran berhubung kategori hasil seperti cukai petroleum, cukai korporat, pendapatan individu, duti eksport dan hasil bukan cukai.

Selain itu, beliau mengesyorkan supaya bahagian 40 peratus disalurkan ke dalam Dana Khas Negeri Sabah (DKNS) yang berasingan daripada bajet pembangunan tahunan bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti.

“Jabatan Audit Negara juga wajar menerbitkan laporan tahunan mengenai kutipan dan bayaran balik hasil di bawah Perkara 112C, yang dibentangkan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya, sambil menambah bahawa penyelarasan formula 40 peratus dengan Rancangan Malaysia Lima Tahun perlu dilakukan bagi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.

Dr. Awang Faisal menegaskan, pendekatan berasaskan kerjasama dan ketelusan akan menjadikan pelaksanaan Perkara 112C bukan lagi isu tuntutan negeri, tetapi sebahagian daripada reformasi fiskal nasional.

“Usaha bersama antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri dalam menubuhkan mekanisme rundingan fiskal khas antara Sabah dan Putrajaya adalah langkah penting ke arah penyelesaian menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, langkah itu membuktikan bahawa melalui saluran betul dan sikap saling menghormati, hak 40 peratus boleh direalisasikan secara praktikal dan berterusan.

“Perjuangan ini bukan sekadar soal angka, tetapi soal mengembalikan makna keadilan dan kepercayaan dalam semangat MA63

“Dengan dasar yang jelas dan kepimpinan yang komited, hak 40 peratus Sabah tidak lagi menjadi retorik sejarah, tetapi satu hakikat baharu dalam hubungan persekutuan dan negeri yang adil,” katanya.

Dr. Awang Faisal menyifatkan mesyuarat Jemaah Menteri esok sebagai hari penentu bagi hak Sabah, apabila Kabinet dijangka membuat keputusan sama ada meneruskan atau menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan 40 peratus hasil.

Beliau menyeru agar Perdana Menteri dan seluruh Kabinet tidak meneruskan rayuan tersebut, sebagai tanda keikhlasan kerajaan menghormati hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan dan MA63.

“Keputusan berani ini akan membuktikan bahawa Malaysia Madani bukan sekadar slogan, tetapi cerminan sebenar keadilan dan kepercayaan dalam sistem persekutuan kita,” tegasnya.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN