31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

UNIKL BAKAL DITUBUH DI SABAH : AZIZAH

Azizah (tiga dari kiri) bersama usahawanita di Matunggong.

Oleh: Liza Din

MATUNGGONG: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dibawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal menubuhkan kampus baharunya bagi cawangan Sabah.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata UniKL sudah mempunyai 13 cawangan di seluruh negara dan kini masanya untuk diwujudkan sebuah cawangan bagi negeri Sabah.

“Sudah tiba masanya di mana kami merasakan UniKL juga perlu wujud sebagai sebuah cawangan di negeri Sabah kerana ia sudah wujud di semua negeri lain.

“Kini kita dalam sedang proses perbincangan bersama pihak Kerajaan Negeri Sabah tentang usaha untuk mewujudkan UniKL cawangan Sabah ini dan untuk pengetahuan semua, kita juga bercadang untuk mewujudkan kerjasama dengan Yayasan Sabah kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir dalam Program Outreach MARA di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Mara Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sarhadat dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Dato Redonah Bahanda serta para usahawan daripada Matunggong.

Menurut Azizah lagi, MARA juga sedang menunggu kelulusan dari pihak Kementerian Kewangan Malaysia bagi mewujudkan Kolej Vokasional di daerah Beaufort.

“Kita akan bina kolej ini di Beaufort dan kini sedang menunggu beberapa perkara lagi di peringkat kementerian.

“Setelah selesai semua nanti, kita akan terus memulakan proses pembinaan Kolej Vokasional tersebut yang sudah pasti bakal memberi manfaat kepada anak-anak muda kita yang bakal melanjutkan pengajian mereka dalam bidang dan ilmu vokasional,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azizah juga memberitahu bahawa MARA ingin lebih ramai anak negeri Sabah menerima manfaat dan peluang bagi melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat antarabangsa.

“MARA ada tajaan yang mana kita sediakan untuk anak-anak yang berpeluang melanjutkan pengajian mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kita mahu lebih ramai anak-anak Sabah yang guna peluang ini dan sambung pengajian merek ake luar negara, sekaligus membanggakan negeri Sabah dengan kejayaan mereka nanti,” jelasnya.

Azizah juga berkata, usaha bagi menaiktaraf dan pemerkasaan usahawan di kawasan luar bandar adalah usaha berterusan dari pihak MARA dan semua usahawan digalakkan untuk aktif dengan aktiviti MARA.

“Ramai usahawan wanita kita ada potensi yang berada di luar bandar, mereka ada produk, ada keinginan dan ada kehendak untuk memajukan perniagaan mereka.

“Rebutlah peluang dan sertai semua program pemerkasaan kerana kita ada pembiayaan, kita menyampaikan ilmu kepada mereka tentang perlunya pengetahuan pendigitalan dan pensijilan serta banyak lagi,” katanya lagi.

Tambahnya, MARA juga sedia untuk menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha bagi meningkatkan mutu usahawan wanita di kawasan luar bandar.

“Kerjasama dengan semua pihak yang ingin sama memajukan usahawan wanita kita boleh kita laksanakan dan ini semua adalah demi untuk manfaat usahawanita kita.

“Kita yakin dengan norma baharu dalam urusniaga, amat penting untuk setiap usahawan itu mempunyai nilai tambah dan ilmu untuk memasarkan produk yang mereka hasilkan hingga berjaya ke peringkat antarabangsa.

“Pastinya ini akan menambahbaik keadaan ekonomi keluarga mereka, menghasilkan peluang pekerjaan baharu dan menjana keuntungan yang boleh dimafaatkan untuk komuniti setempat,” ujar beliau lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN