26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, November 7, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Undi kecil, tapi kesannya besar

Tamparuli STAR Wiramuda, Jess Joel


KOTA KINABALU: Ketua Wiramuda STAR Sabah N14 Tamparuli, Jess Joel Moriga, yang juga Setiausaha Exco Wiramuda, menegaskan bahawa anak muda bukan tidak peduli terhadap politik, sebaliknya berdepan dengan cabaran hidup yang semakin mencabar dan membataskan penglibatan aktif mereka dalam arena politik.


Dalam satu wawancara bersama beliau, Jess berkata ramai anak muda hari ini terhimpit dengan tekanan ekonomi seperti kos sara hidup yang tinggi, gaji tidak sepadan, bayaran pinjaman pelajar, serta harga barang yang terus meningkat saban tahun.


“Ramai antara kami belajar tinggi, tapi masih mencari tapak untuk berdiri. Bila orang kata anak muda tak peduli politik, saya rasa itu tidak tepat. Kami peduli, cuma cara kami berjuang berbeza,” katanya.


Menurut Jess, walaupun ramai anak muda kini lebih menumpukan perhatian kepada kelangsungan hidup, mereka tetap memiliki satu kuasa besar yang sering dilupakan — kuasa untuk memilih.


“Tahun ini, pengundi muda di Sabah berusia antara 18 hingga 40 tahun hampir mencecah satu juta orang. Ini angka besar dan bererti. Kalau semua keluar mengundi, kita boleh tentukan hala tuju negeri dan cara Sabah dibangunkan,” jelasnya.


Jess turut menegaskan bahawa setiap rakyat mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana ideologi politik, namun beliau menggesa agar anak muda mempertimbangkan untuk memberi sokongan kepada parti-parti tempatan Sabah.


“Ini bukan soal benci kepada parti lain, tapi sudah terlalu lama kita menunggu orang luar faham perjuangan kita. Lebih lima dekad kita menuntut hak yang sepatutnya milik kita. Sampai bila lagi kita mahu mengulang perjuangan yang sama?” katanya.


Beliau menambah, generasi muda kini sepatutnya menumpukan tenaga dan idea kepada perjuangan yang lebih besar seperti memperkukuh ekonomi, menggalakkan inovasi, dan membina masa depan Sabah yang berdiri atas kaki sendiri.


“Undi itu kecil, tapi kesannya besar. Ia menentukan masa depan kita dan generasi selepas kita. Jangan biarkan peluang ini berlalu begitu saja — kita hanya diberi satu peluang setiap lima tahun untuk bersuara. Gunakan ia demi Sabah yang kita cintai,” tegasnya.


Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025, Jess menyeru agar anak muda bangkit memainkan peranan lebih aktif dalam menentukan masa depan negeri.


“Ini masa untuk kami anak muda membuktikan bahawa suara kami bukan sekadar di media sosial, tetapi juga di peti undi. Masa depan Sabah ada di tangan kita sendiri,” katanya sambil menzahirkan keyakinan bahawa kebangkitan generasi muda akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif di negeri ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN