CENDERAMATA…..Dr Fary Akmal menerima cenderamata daripada Profesor Dr Jualang (dua kanan) sambil diperhatikan Zamri (kanan) dan Ibrahim (tiga kiri) di Wisma Perbadanan Labuan, kelmarin.
LABUAN: Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sedia menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Labuan (PL) dalam pelbagai bidang bagi manfaat warga Wilayah Persekutuan Labuan secara keseluruhannya.
Komitmen tersebut dinyatakan oleh Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Dr Jualang @ Azlan Abdullah Gansau ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman di pejabatnya di Wisma Perbadanan Labuan, pada Jumaat.
Turut bersama beliau ialah Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah dan Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Sharinah Puasa.
Manakala Dr Fary turut disertai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan), Ibrahim Tambi dan Pengarah Jabatan Sosio Ekonomi, Helmi Bali.
Dr Jualang berkata antara bidang yang boleh diadakan secara bersama itu ialah yang membabitkan kewangan dan teknologi maklumat selaras dengan kewujudan FKAL dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di UMS Labuan.
“UMSKAL selaku Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tunggal di Wilayah Persekutuan Lahuan, bersedia menjalinkan kerjasama pintar dengan Perbadanan Labuan selaku PBT utama di wilayah ini.
“Kepakaran yang dimiliki pensyarah FKAL dan FKI serta mahasiswa boleh digunapakai untuk manfaat bersama sekaligus sumbangan warga UMSKAL kepada masyarakat setempat,”katanya.
Malah, Dr Jualang berkata dalam kebanyakan urusan UMSKAL yang berkaitan pelajar, pensyarah dan kakitangan, ia akan membabitkan kerjasama Perbadanan Labuan selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Tambah beliau, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin, sentiasa mengalu-alukan kerjasama antara UMSKAL dengan agensi kerajaan dan swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Wilayah Persekutuan Labuan.
Tamat.
Gambar: