KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan usaha memperkasa komuniti luar bandar melalui penganjuran Jelajah Ilmu Watan (JIWA) 3.0: Borneo Relawan (Borela), program kesukarelawanan berskala besar yang menghimpunkan pelajar universiti, masyarakat setempat dan rakan strategik di bawah satu misi bersama.

Berteraskan konsep “Dari Komuniti untuk Komuniti”, program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS itu dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
JIWA 3.0 memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar di Zon Betong dan Zon Asajaya, Sarawak, serta daerah Kalabakan dan Nabawan, Sabah, yang dikenal pasti memerlukan perhatian dalam aspek pendidikan, kesihatan, keusahawanan, transformasi digital, perpaduan komuniti serta kelestarian alam sekitar.
Pengarah program, Nurulhuda Nabilah Abdul Aziz, berkata JIWA 3.0 bersifat lebih inklusif tahun ini dengan inisiatif yang disesuaikan mengikut keperluan setempat.
“JIWA bukan sekadar program turun padang, tetapi sebuah gerakan membina jambatan hati antara sukarelawan dan masyarakat. Kami mahu setiap sentuhan memberi kesan berpanjangan sama ada dalam bentuk ilmu, kemahiran mahupun peluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara aktiviti dilaksanakan termasuk bengkel literasi dan motivasi pelajar, pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan awam, latihan asas keusahawanan, pemasaran produk tempatan, pengenalan teknologi digital, sesi dialog bersama komuniti, sukan rakyat, penanaman pokok serta kempen kesedaran alam sekitar.
Selain memberi manfaat kepada penduduk setempat, program itu juga menjadi platform kepada pelajar UMS untuk mengasah kemahiran insaniah, memupuk empati dan memahami cabaran sebenar masyarakat luar bandar.
“JIWA 3.0 sekali lagi membuktikan semangat kesukarelawanan dan sinergi antara semua pihak mampu mencipta perubahan bermakna. UMS berharap inisiatif ini terus berkembang dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berbakti kepada negara,” kata kenyataan itu.



