25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

UMS terbit Buku ‘Mengimbau Dunia’ Koleksi Datuk Raya Erom

Coswald (tepi kiri) memalu gong sebanyak tiga kali sebagai simbolik pelancaran buku sambil disaksikan Baharudin (dua kiri), Raya Erom (tepi kanan) dan Pengarah GAH UMS, Sarlona Jasnie Gindug (dua kanan).

 

KOTA KINABALU: Sebuah buku terbitan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertajuk ‘Mengimbau Dunia’ Koleksi Datuk Raya Erom dilancarkan di Galeri Azman Hashim (GAH), di sini, Sabtu lalu.
 
Buku yang ditulis Prof. Madya Dr. Haji Baharudin Haji Mohd Arus mengisahkan perjalanan aktivis seni yang cukup berdedikasi berasal dari Kampung Selupoh Tuaran, Datuk Hajah Raya Erom.
 
Menurut Baharudin, buku tersebut dihasilkan selama dua tahun bermula 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
 
“Ia memuatkan 180 karya seni Datuk Raya Erom yang terbahagi kepada beberapa elemen  seni seperti garisan, jalinan, bentuk, ruang dan warna.
 
“Aliran karya beliau adalah Naif (Naive) abstrak ekspresionisma dan berkonsepkan feminisme aliran berkaitan dengan hal gender.
 
“Apa yang ingin diangkat oleh pelukis (Datuk Raya) juga adalah seperti tujuan ahli falsafah Tolstoy, Aristotle dan Al Rumi yang menganjurkan seni lukis mesti mencapai matlamat mendekatkan manusia kepadai perkara-perkara kebaikan dalam hidup dan juga ketuhanan,” katanya.
 
Baharudin yang juga pesara pensyarah Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS berkata demikian ketika dihubungi selepas pelancaran buku.
 
Sementara itu, Datuk Raya Erom memaklumkan bahawa beliau sebenarnya masih mempunyai pelbagai karya seni yang tidak dimuatkan dalam buku tersebut kerana ia tidak berada dalam simpanannya.
 
“Sebahagian besar bilangan karya yang lain sudah terjual kepada kolektor, hadiah kepada badan amal dan orang perseorangan.
 
“Karya yang terdapat dalam buku ini adalah hasil luahan rasa serta persepsi seni yang diharap dapat dinikmati serta menjadi kebaikan kepada khalayak seperti pepatah Inggeris yang diambil daripada puisi John Keats “A thing of beauty is joy forever,” katanya.

Raya Erom (kiri) memperlihatkan buku yang ditulis berkaitan perjalanan seni beliau kepada Coswald (kanan).


 


Datuk Raya Erom turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong beliau sehingga buku setebal 278 muka surat itu berjaya diterbitkan.
 
“Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu serta badan tertentu yang banyak membantu kelahiran buku ini.
 
“Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada suami saya, Datuk Seri Panglima Dr. Haji Mohd Salleh Said Keruak, beliau merupakan penyokong utama yang sentiasa menjadi tunggak utama bagi saya menghasilkan karya seni visual yang kebanyakan termuat di buku ini.
 
“Tidak lupa juga penasihat karya saya, Profesor Emeritus Datuk Dr Haji Ghouse  Nasaruddin dan yang teristimewa penulis buku ini, Prof. Madya Dr. Haji Baharudin Haji Mohd Arus,” katanya.    
 
Majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd. Nasri mewakili Naib Canselor UMS.
 


 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN