Raime (keempat dari kiri) merakamkan gambar kenangan dengan tetamu yang hadir.
TENOM: Ketua Umno Bahagian Tenom Datuk Haji Raime Unggi berkata, Umno bahagian ini sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, sebagai Ketua Bahagian beliau akan mempastikan Umno Bahagian ini mengambil bahagian dalam RRN nanti.
“Kita juga bersedia untuk meletakkan calon jika sampai masanya. Umno sentiasa sinonim berkhidmat kepada rakyat, justeru tiada masalah kita letakkan calon” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri keluarganya di rumah kediamannya di di sini pada Sabtu.
Raime yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik berkata, beliau bukan omong kosong tetapi kalau kita lihat dari sejarah politik, pemimpin-pemimpin dan ahli Umno daripada pucuk pimpinan sehingga peringkat akar umbi sudah bergerak dan menjadi satu gerak kerja dalam apapun keadaan seperti banjir dan majlis-majlis yang melibatkan keperluan rakyat, pemimpin parti akan turun sama-sama membantu.
“Sebab itu jika PRN akan diadakan kita bersedia untuk meletakkan calon di kawasan kita ini” katanya lagi.
Menjawab soalan lain, Raime berkata tidak boleh dinafikan suatu ketika dulu kawasan Parlimen Tenom ini dan di kedua-dua DUN Kemabong dan Melalap dikuasai oleh Barisan Nasional yang diwakili daripada calon parti Umno dan parti komponen BN.
“Walau bagaimanapun memandangkan senario politik yang agak berbeza pada kali ini kita perlu rakan strategik yang terbaik supaya kita sama-sama boleh membantu rakyat” jelasnya.
Ini katanya, kerana pada masa ini rakyat berhadapan dalam keadaan negara yang tidak stabil berikutan ekonomi yang tidak baik, harga barang keperluan yang semakin naik dan macam-macam lagi termasuk keadaan infrastruktur yang tidak sempurna.
“Kalau diletakkan calon bagi Umno kita bersedia, kalau tidak diletakkan calon pun kita bersedia kerjasama dengan rakan kongsi kita yang terbaik” tambahnya.
Katanya, ia bergantung kepada barisan pucuk kepimpinan atasan yang boleh membuat keputusan demi kebaikan parti dan juga rakyat.
Menyentuh suasana majlis rumah terbuka keluarganya Raime berkata, beliau menyifatkan kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai satu landasan yang baik untuk mengukuhkan lagi keharmonian dan perpaduan dikalangan masyarakat khususnya di kawasan ini.
“Lebih-lebih lagi dalam keadaan politik yang tidak menentu pada masa ini yang menimbulkan banyak persepsi banyak pihak dan kadang kala mengeruhkan hubungan antara satu dengan yang lain ” katanya.
Menurut Raime, majlis rumah terbuka adalah medium untuk merapatkan hubungan dan semangat kekitaan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.
“Ini saya dapat lihat dengan kehadiran orang ramai yang terdiri daripada kaum Murut, Dusun, Cina, Melayu dan sebagainya tanpa mengira ideologi politik” jelasnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Datuk Rubin Balang, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Senator Norita Sual, mantan Senator Datuk Dr Lucas Umbul, Ahli Majlis Tertinggi PBS Datuk Fredian Gan, ketua -ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.