ADVERTISEMENTspot_img

MINDET terus sokong syarikat Sabah tembusi pasaran global

SEOUL, Korea Selatan: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah akan terus menyokong pembangunan syarikat tempatan Sabah melalui pelbagai inisiatif sedia ada dan inisiatif-inisiatif baharu yang akan perkenalkan bagi meningkatkan daya saing perusahaan Sabah di peringkat antarabangsa.

Menterinya merangkap Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha itu penting bagi memastikan lebih banyak syarikat tempatan berjaya menembusi pasaran global dan mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya berbangga kerana semakin banyak syarikat tempatan Sabah kini berjaya menembusi pasaran global dengan perolehan mencecah jutaan hingga puluhan juta ringgit setahun.

“Kejayaan mereka membolehkan lebih banyak anak-anak tempatan mempunyai peluang pekerjaan serta membina rantaian bekalan dan perkhidmatan perusahaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara ringkas pembukaan Pavilion Sabah sempena Seoul Food & Hotel Expo 2026 di Korea International Exhibition Center (KINTEX), di sini, kelmarin.

Sebanyak lapan syarikat tempatan Sabah menyertai ekspo berkenaan, iaitu Kerupuk Lelek Enterprise Sdn Bhd, Yuly Global International Sdn Bhd, Aryana Food Sdn Bhd, Hong Xin Food Sdn Bhd, RDS Juta Food Industries Sdn Bhd, Norcy Beautylab Sdn Bhd, BTC Corporation Sdn Bhd dan Takahari Marketing Sdn Bhd.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus membantu memperluaskan pasaran produk dan perkhidmatan Sabah ke peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memainkan peranan penting dalam memudah cara penyertaan syarikat tempatan ke pasaran global melalui pelbagai program promosi perdagangan dan pembangunan eksport.

Beliau berkata, penyertaan syarikat Sabah dalam Seoul Food & Hotel Expo 2026 dijangka membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan dan jaringan perniagaan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kehadiran produk serta jenama Sabah di pasaran dunia.

Terdahulu, Ewon menghadiri upacara pembukaan rasmi Seoul Food & Hotel Expo 2026 bersama delegasi Sabah yang lain.

Ekspo berkenaan menghimpunkan lebih 3,400 reruai melibatkan 1,800 syarikat dari 49 negara, termasuk Malaysia yang turut menampilkan Pavilion Sabah. Penganjuran tahun ini merupakan edisi ke-44 acara tersebut.

Ewon turut bersama jemputan lain yang mewakili pelbagai negara dan kedutaan asing menyempurnakan perasmian rasmi ekspo berkenaan.

Turut serta dalam lawatan kerja itu, Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin, CEO KKIP Cecilia Amid, Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Datuk Ar James Wong Kein Peng, CEO Invest Sabah Bhd Kevin Ukang dan pegawai-pegawai MINDET serta agensi kementerian.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN