Mohd Rafi bersama sebahagian kepimpinan UMNO yang mendokong program parti yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.
LABUAN: UMNO Bahagian Labuan telah menyantuni 320 keluarga kurang berkemampuan menerusi Program Ziarah Kasih Ramadan melibatkan 27 kampung dan 32 cawangan UMNO yang terdapat di Labuan.
Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata program yang bermula minggu pertama bulan Ramadan dan berakhir Ahad lalu bertujuan untuk membantu mengurangkan beban golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Selain itu, UMNO Bahagian juga turut menganjurkan Program Jelajah Ukhwah Ramadan untuk nmenyantuni 32 buah masjid dan surau dengan pengisian menyertai solat Tarawih bersama sama jemaah masjid sambil menyampaikan sumbangan zakat kepada jawatankuasa masjid dan surau.
Jelas Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO berkata kedua-dua program tahunan tersebut dilaksanakan sebagai bukti komitmen berterusan pihak parti terhadap kebajikan masyarakat setempat.
“Kita turun ke seluruh pelosok kampung di Labuan untuk memberi bantuan wang zakat serta barangan keperluan kepada 320 keluarga.
“Selain itu, UMNO Bahagian Labuan juga telah menjelajah ke 32 masjid dan surau yang melaksanakan solat sunat tarawih menerusi Program Ukhwah Ramadan ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Bersama UMNO Labuan di Desa Tunas Hijau disini, pada Ahad.
Mohd Rafi berkata, Program Ziarah Kasih Ramadan telah mula diperkenalkan sejak beliau diangkat sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Labuan pada tahun 2008 dan diteruskan sehingga kini sebagai komitmen berterusan terhadap kebajikan masyarakat di Labuan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan, jentera dan sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan program berkenaan berjalan lancar sekaligus memberi manfaat kepada golongan sasar.



