SERAH… Faizal (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan beras kepada Haji Sabtu sambil diperhatikan Sabli (kanan sekali), Anuar (dua dari kanan), Haji Yahya (dua dari kiri) dan Suhaimi.
LABUAN: UMNO Bahagian Labuan akan menghulurkan sumbangan 100kg beras untuk kenduri kahwin kepada pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan dan 50 kg beras kepada ahli atau ketua keluarga yang ditimpa musibah kematian.
Program yang diseleraskan oleh Sekretariat Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat UMNO Bahagian Labuan itu mula digerakkan pada 1 Mei lalu yang disasarkan kepada golongan kurang berkemampuan tanpa mengira kaum, agama, bangsa atau fahaman politik.
Menurut Pengerusi Sekrateriat Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat UMNO Bahagian, Sabli Jinin, program tersebut merupakan idea daripada Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan sebagai usaha UMNO membantu rakyat khususnya golongan yang kurang berkemampuan.
“ UMNO Bahagian Labuan akan menghulurkan beras sebanyak 100kg kepada pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan, manakala sebanyak 50kg beras kepada ahli keluarga yang ditimpa musibah kematian atau meninggal dunia” katanya.
Sabli Jinin yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan bantuan beras kepada keluarga Alahyarhamah Hajah Jambi Haji Jakob dari kampung Layang-Layangan, pada Selasa.
Alahyarhamah Hajah Jambi Haji Jacob, 73, meninggal dunia pada petang Isnin dan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Orang Islam Kampung Sungai Miri pada sebelah malamnya.
Sementara itu, majlis penyerahan sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Cawangan UMNO Layang-Layangan, Faizal Lakat kepada Haji Sabtu Haji Salim (menantu alahyarhamah) di kediamannya Simpang Blok 5, Layang-Layangan.
Hadir sama, Pengerusi Keagamaan dan Khairat Kematian UMNO Bahagian Labuan, Haji Yahya Haji Bakri, Timbalanya Anuar Matsum dan Timbalan Sekretariat II Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Suhaimi Amir.



