BASHIR ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan UMNO Cawangan Berkelumpok di Dewan Komuniti Sungai Lada.
LABUAN: UMNO Labuan akan mempertahankan kerusi Parlimen P.166 yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).
Ketua Umno Bahagian Labuan, Senator Datuk Bashir Alias berkata, pada PRU ke 15 (PRU-15), Umno Labuan akan mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya pada PRU-14 dengan meletakkan seorang calon dikalangan anak jati Labuan.
“ Kami telahpun mengambil pendirian dan menegaskan bahawa UMNO Bahagian Labuan akan mengekalkan kerusi tradisi yang dimenangi dengan meletakkan calon UMNO dikalangan anak jati Labuan.
“Tentunya pihak kami akan menentang sekeras-kerasnya jika ada usaha untuk menurunkan calon ‘payung terjun’ untuk mewakili BN pada pilihanraya akan datang” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan Persidangan UMNO Cawangan berkelumpok empat peringkat Bahagian Labuan, di Dewan Komuniti Sungai Lada, pada Sabtu.
Dalam waktu yang sama, beliau berkata UMNO Bahagian Labuan sudahpun mengemukakan tuntutan kepada pucuk pimpinan UMNO di peringkat pusat agar kerusi UMNO Labuan terus dikekalkan pada PRU ke 15.
Ia juga katanya selaras dengan tuntutan dan prinsip UMNO untuk mempertahankan mana-mana kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU ke 14 termasuk kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri yang dimenanginya sebelum ini.
Justeru itu Bashir menyeru ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi dan juga di Bahagian terus memperkukuhkan keyakinan dan sokongan sebagai persediaan menghadapi PRU ke 15 yang mungkin akan diadakan pada bila bila masa.
Beliu turut memperjelaskan Bahawa UMNO Bahagian Labuan yang mempunyai 30 cawangan memulakan persidangan mereka pada Sabtu dan perlu di selesaikan sebelum 31 Ogos ini.
Pada Sabtu lalu, sebanyak lima cawangan telahpun mengadakan persidangan secara berkelumpok membabitkan cawangan Umno Sungai Lada, Sungai Labu, Sungai Miri, Kilan dan Layang-Layangan yang diadakan di Dewan Komuniti Sungai Lada.
Hadir sama pada persidangan serentak itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Khalid Abd. Ghani, Naib Ketua Umno Bahagian, Sahri Tarji dan Ketua-Ketua Sayap parti membabitkan Wanita, Pemuda dan Puteri.