30 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Umno Dakwa Syarikat Melombong Pasir Di KB Tidak Patuh Syarat Kontrak.

Selamat Antang

KOTA BELUD: UMNO Bahagian Kota Belud mendedahkan terdapat syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk mengorek pasir sungai di Kota Belud tidak mematuhi syarat kontrak.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu, Encik Selamat Antang mendakwa syarikat terbabit melakukan kerja-kerja mengorek pasir tanpa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, berdasarkan maklumat dan laporan yang diterimanya daripada penduduk kampung, syarikat-syarikat tersebut didapati lebih berminat melombong pasir sungai semata-mata.

“Syarikat-syarikat berkenaan hanya tumpu kepada aktiviti perlombongan pasir berbanding kerja-kerja mendalamkan dasar sungai, perbetulkan jejaran tebing sungai dan menyelesaikan masalah mendapan yang mengakibatkan sungai menjadi cetek.

“Apabila sungai menjadi cetak sehingga mengganggu dan menjejaskan kelancaran aliran air sungai, maka akan menyebabkan ia melimpah yang akhirnya berlaku banjir apabila musim hujan”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Japlin Haji Akim yang menggesa Kerajaan Negeri segera menyelesaikan masalah lambakan pasir sungai yang tidak terjual di Kota Belud.

Katanya, beliau mendapat laporan bahawa masalah lambakan bekalan pasir sungai yang telah dilombong begitu serius sehingga mencapai ratusan juta metrik tan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah melantik beberapa syarikat untuk menjalankan aktiviti perlombongan pasir sungai di Sungai Kadamaian hingga ke muara Sungai Kuala Abai.

“Aktiviti perlombongan pasir itu dilakukan bertujuan mendalamkan dan membersihkan sungai berkenaan sebagai sebahagian daripada rancangan membantu menangani masalah banjir di daerah ini”, tegas Japlin.

Selamat mendakwa, jika syarikat yang dilantik itu mematuhi skop kerja dan spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sudah pasti masalah banjir yang berlaku Sabtu lalu tidak mendatangkan kesan yang serius kepada penduduk kampung yang menetap di sepanjang sungai di Kota Belud.

“Yang jelasnya syarikat-syarikat berkenaan hanya tumpukan aktiviti melombong pasir di satu tempat sahaja, dan bukan membetulkan jejaran dan mendalamkan sungai yang terjejas akibat mendapan pasir. Ini termasuklah lokasi yang dizonkan untuk menyimpan stok pasir dibiarkan di tebing sungai.

“Tujuan utama projek mengorek pasir di sungai Kota Belud ialah untuk membersihkan pasir di dasar sungai bagi menangani isu dan fenomena banjir berikutan gempa bumi pada tahun 2015 tetapi kita dapati mereka kini tidak mematuhi kontrak dan spesifikasi kerja”, tegasnya.

Sehubungan itu beliau menggesa Kerajaan Negeri mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang melanggar kontrak, termasuk menamatkan kontrak mereka.

“Tindakan syarikat-syarikat tersebut hanya akan merosakkan alam sekitar dan sungai itu dan mereka perlu diambil tindakan tegas untuk membaikpulih kerosakkan akibat aktiviti perlombongan pasir yang keterlaluan”, tegasnya. End

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN