Oleh: Aduka Jasnin Suman
RANAU: Setiap umat Islam dituntut untuk mengaplikasikan ajaran serta sifat terpuji Rasullulah SAW dalam seluruh aspek kehidupan harian.

Menteri Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Haji Aidi Haji Moktar berkata, sewajarnya, umat Islam perlu mengingatkan diri sendiri, apakah nilai serta sifat yang perlu dicontohi dalam perwatakan Rasulullah SAW.
Menurutnya, setiap umat Islam perlu memahai bahawa mereka adalah pemimpin atau khalifah. Justeru, setiap individu dituntut untuk menterjemah sifat-sifat terpuji baginda.
“Harus diingat, pemimpin akan dipertaggungjawabkan atas kepimpinannya. Maka sebab itu hendaklah kita sentiasa menjalankan amanah kepimpinan dengan menjadikan Rasululah SAW sebagai suri tauladan.
“Semai dan suburkan semangat cintakan Rasullulah SAW setiap masa agar akhlak mulia baginda terutama amal dan ibadat baginda dapat dicontohi bagi menjana kecemerlangan dalam pembangunan ummah sekaligus meraih maghfirah dan rahmat Allah SWT,” katanya.
Jabatan Pendidikan Ranau, antara yang menyertai perarakan itu.
Beliau berkata demikian dalam perutusan dan pelancaran rasmi sambutan Mauliidur Rasul SAW 1441H/ 2019M, Peringkat Daerah Ranau 2019, di Dewan Masyarakat Ranau.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri, Haji Faimin Kamin.
Datuk Aidi juga menyeru segenap lapisan masyarakat dan rakyat khususnya umat Islam di daerah ini agar terus berganding bahu dalam mempastikan kelangsungan perpaduan rakyat berbilang kaum dapat diperkukuh.

“Dengan meneladani sifat mulia baginda Rasulullah SAW khasnya sifat menyantuni, bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada diri sendiri malah dapat dinikmati seluruh masyarakat.
“Sesungguhnya perarakan dan perhimpunan yang kita lakukan ini menjadi simbol syiar Islam yang sentiasa mementingkan semangat kesatuan fikrah dan tindak-tanduk dengan cara syura dan permuafakatan.
“Pepatah arab mengatakan, “tidak dapat dicapai kemenangan melainkan dengan kekuatan dan tidak dapat dicipta kekuatan melainkan dengan peyatuan”. Justeru marilah bersama-sama mencipta kekuatan ini dengan menjalin persaudaraan selain menjernihkan kekeruhan yang ada,” ujarnya.
Tambahnya, tema sambutan Maulidur Rasul 2019, ” Negara Rahmah Ummah Sejehtera”, patut disematkan dalam sanubari seterusnya bersama-sama mengupayakannya dalam kehidupan seharian.
Pada majlis itu, Hidayah Binti Haji Mat Saad diumumkan sebagai Tokoh Maulidurrasul 1441H/ 2019M, Peringkat Daerah Ranau.

Lebih 1,000 masyarakat Islam di daerah ini mengambil bahagian sempena perarakan itu yang bermula dari Padang Pekan dan berakhir di Dewan Masyarakat Ranau.-TAMAT-