27 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Umat Islam, diseru jadikan Ma’al Hijrah sebagai titik tolak perubahan hidup: Masidi

Masidi (ketiga kiri) bersama para tokoh Maal Hijrah dan pihak penganjur dalam program itu

RANAU: Umat Islam, khususnya di daerah ini diseur agar menjadikan Sambutan Ma’al Hijrah sebagai titik tolak perubahan hidup dari yang kurang kepada yang lebih baik di masa akan datang.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sudah sampai ke peringkat di mana hampir setiap rumah menghasilkan graduan.


“Malahan, Ranau adalah pengeluar graduan yang terbanyak di Sabah jika ia dikadarkan dengan jumlah penduduk. Sehubungan dengan itu, sudah tiba masanya untuk anak-anak Ranau melangkah lebih ke hadapan dengan mengambil kursus yang lebih sukar dan mempunyai permintaan yang lebih luas di pasaran.


“Kita mahu tambah nilai graduan-graduan kita. Kita mahu mereka mengambil kursusu-kursus yang lebih tinggi kebolehpasarannya dan lebih baik berbanding daripada ijazah-ijazah yang lain,” kata beliau.


Menurut beliau, kursus-kursus tersebut adalah kursus yang berkaitan dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.


Masidi menambah, kehadiran yang terbesar sepanjang sejarah beliau merasmikan Sambutan Maal Hijrah di daerah Ranau patut menjadi cerminan kepada makna sebenar program itu sendiri, iaitu perubaha daripada yang kurang baik kepada yang baik.


“Ini perlu menjadi lebih bermakna bagi kita yang dulunya malas menghadiri program-program keagamaan sehingga menjadi rajin menghadirkan diri. Seringkali saya katakan, kita sebagai Umat Islam di Ranau perlu menunjukkan rasa sayang kita kepada agama kita sendiri.


“Kalau ada sesuatu yang perlu kita buktikan kepada masyarakat, ia ialah, orang-orang Dusun yang beragama Islam di daerah ini adalah orang-orang Islam yang sayangkan agama mereka.


“Kita hadir di sini bukan kerana ada sesuatu yang kita dapat daripada acara ini tetapi sebagai menunjukkan sokongan bulat kita kepada seumat dan kepada usaha penganjur untuk mengadakan acara ini kali ini,” jelas beliau.


Beliau mengajak semua umat Islam di sini agar mengambil kesempatan dari program ini untuk menimba ilmu dan meningktkan ilmu mereka daripada sebelumnya sesuai dengan mesej utama Maal Hijrah ini.


Masidi yang juga merupakan Menteri Kewangan II Negeri Sabah merangkap Adun Karanaan berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Ma’al Hijrah 1444H/2022M bertempat di Dewan Masyarakat Ranau baru-baru ini.


Sementara itu, beliau menegaskan bahawa masyarakat di daerah ini begitu bertuah dan ramai orang di luar sana mengimpikan untuk tinggal di sini kerana Ranau mempunyai tanah yang subur, cuaca segar dan masyarakat yang ramah mesra.


“Walaubagaimanapun, semua kebaikan ini perlu kita terjemahkan kepada kehidupan kita sehari-harian yang akan membawa kita kepada kemajuan. Salah satu segi utama ialah dari sudut pendidikan.


“Salah satu cabaran ialah kesukaran para lepasan graduan yang sukar untuk mencari pekerjaan kerana sector pekerjaan yang ada kekosongan pada hari ini tidak menepati kelulusan yang graduan kita perolehi.


“Justeru, saya cadangkan bahawa asalah satu daripada kursus yang perlu diterokai oleh para generasi muda hari ini ialah dalam sektor minyak dan gas (ONG),” jelas beliau.


Turut hadir ialah Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani, Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Datuk Aziz @ Bungsu Jaafar, ADUN Lantikan, Datuk Amisah Yassin dan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan, Pemimpin-Pemimpin Masyarakat dan orang ramai.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN