Walter menyampaikan watikah penghijauan KBT kepada salah seorang pemimpin kampung.
KENINGAU:Tujuh buah kampung di Daerah ini masing-masing menerima watikah penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah sebagai usaha membenteras penyalahgunaan dadah di kampung-kampung tersebut.
Penyampaian watikah ini disempurnkan oleh Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson sempena Program Aspirasi Wanita Mendayaupaya Komuniti Sempena Sambutan Hari Wanita anjuran AADK Sabah di salah sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Menurut Walter, usaha pihak AADK Sabah bagi tujuan penghijauan KBT di kampung-kampung dalam kawasan daerah Keningau itu mampu membantu mengurangkan aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini yang merupakan antara salah satu di negeri ini yang tergolong dalam kawasan berisiko tinggi selain Kota Kinabalu dan Tawau.
“Dengan keadaan di Keningau ini yang mana tergolong antara tiga kawasan utama yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi itulah sebab kita berusaha untuk menjadikan Keningau ini sebagai kawasan yang kurang penglibatan dalam penyalahgunaan” katanya kepada media selepas program itu.
Tambahnya, pengiktirafan penghijauan KBT di Daerah ini dapat diperolehi melalui beberapa indikator yang perlu dicapai iaitu jumlah penagih baru, penagih berulang, orang kena pengawasan , tahap kepulihan klien dan kesediaan komuniti.
Oleh itu, beliau berharap agar semua pihak dapat memberikan sokongan padu kepada AADK dalam mengupayakan komuniti bebas dadah melalui program penghijauan di kawasan berisiko tinggi.
Hadir sama Pengarah AADK Negeri Sabah Nani Bin Sikin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Liawan Fred Toyong, Naib Presiden Majlis Belia Sabah Cik Siti Sobrinah Tassim dan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Keningau Puan Ivy Wong.