Agensi pelancongan Korea Selatan bersama Khairul (dua dari kiri) ketika berada di LIGC.
LABUAN: Tujuh agensi pelancongan utama Korea Selatan mengadakan lawatan ke Wilayah Persekutuan Labuan bagi mendapatkan pengenalan tawaran produk pelancongan Labuan yang menarik untuk diketengahkan kepada pelancong negara itu.
Lawatan tiga hari yang bermula pada 12 Jun lalu adalah hasil inisiatif bersama Pejabat Tourism Malaysia di Seoul, Pejabat Tourism Malaysia Sabah, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Pusat Penerangan Pelancongan Labuan.
Lawatan berkenaan turut mendapat sokongan daripada pengusaha pelancongan dan hotel tempatan.
Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Khairul Amir Anuar yang menyelaras lawatan tersebut berkata, lawatan tersebut bertujuan mempromosikan Labuan sebagai destinasi pelancongan yang unik kepada pelancongan Korea Selatan.
“Sepanjang berada di Labuan delegasi berkenaan telah dibawa melawat ke beberapa kawasan tarikan utama pelancongan seperti Seleman Skuba di terumbu karang dan Ship Wrick, Labuan International Golf Club LIGC) dan destinasi pelancongan Pulau Rusukan Besar”, katanya ketika ditemui di LIGC pada, Sabtu lalu.
Mereka juga katanya, turut di bawa melawat tempat penginapan terkemuka seperti Hotel Tiara Labuan, Palm Beach Resort and Spa, AZ Hotel and Serviced Apartment, Lazenda Hotel, Beta Serviced Apartment dan tapak ekopelancongan Desa Tunas Hijau dan Pusat Penerangan Pelancongan Labuan.
Khairul berkata, lawatan ini juga merupakan usaha strategik untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong Korea Selatan terhadap pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Apa yang Labuan tawarkan adalah ketenangan, alam semula jadi dan pengalaman khusus – daripada aktiviti selaman dan golf bertaraf dunia sehinggalah pulau yang bersih dan mendamaikan”, katanya.
Sementara itu, wakil agensi pelancongan Korea Selatan menyuarakan keyakinan terhadap potensi Labuan yang mampu menarik minat pelancong Korea kSelatan untuk melancong ke Labuan yang menggabungkan relaksasi dan pengembaraan.



