Terima kasih…Nizam menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
GOMBAK: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa penganjuran Sukan Anak-anak Sabah 2025 bukan sekadar medan pertandingan, tetapi platform penting dalam membina semangat perpaduan, kepimpinan dan pembangunan generasi muda Sabah, khususnya mahasiswa di perantauan.
Beliau berkata, program tersebut berjaya menghimpunkan anak-anak Sabah daripada tiga kampus melalui pelbagai acara sukan seperti futsal, badminton, bola tampar dan e-sukan sekali gus memperlihatkan potensi besar belia Sabah dalam pelbagai bidang.
“Di sinilah lahirnya semangat kekitaan sesama anak Sabah walau berada jauh di perantauan. Sukan bukan hanya soal kemenangan di gelanggang, tetapi juga medan membentuk karakter, kepimpinan dan semangat kerja berpasukan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Sukan Anak-anak Sabah 2025.
Acara-acara yang di pertamdingkan esports ml pubg, badminton, volleyball dan futsal.
Menurut beliau, nilai disiplin, kerjasama, integriti dan perpaduan yang diterapkan melalui program seumpama itu amat penting dalam membentuk generasi muda yang berdaya tahan serta mempunyai semangat cintakan negeri dan masyarakat.
Nizam turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk penganjur, sukarelawan, pegawai kejohanan dan peserta yang menjayakan program berkenaan.
“Komitmen yang ditunjukkan jelas membuktikan bahawa anak-anak Sabah, walau di mana berada, tetap membawa semangat yang sama iaitu semangat untuk berjaya dan mengangkat nama negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri komited menjadikan Sabah sebagai negeri sukan yang disegani dengan memperluaskan budaya sukan merentasi semua peringkat masyarakat.
Beliau berkata, perkembangan dunia sukan masa kini termasuk e-sukan dan industri kreatif membuka ruang besar kepada pembangunan belia dan peluang ekonomi baharu.
“Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah sedang merancang pelbagai inisiatif termasuk penubuhan unit khas bagi memacu pertumbuhan ekonomi kreatif.
“Usaha ini bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada anak muda Sabah untuk menjadikan minat dan bakat mereka sebagai kerjaya mampan serta mampu menjana pendapatan pada masa depan,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan pendidikan dan belia, Nizam berkata kerajaan negeri terus menunjukkan komitmen besar melalui pelbagai inisiatif termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).
Menurut beliau, seramai 13,550 pelajar Sabah menerima manfaat BKNS dari tahun 2021 hingga 2024, manakala peruntukan biasiswa itu pada tahun lalu meningkat sehingga RM136 juta.
“Ini membuktikan bahawa pelaburan terbesar untuk masa depan Sabah adalah pelaburan kepada anak mudanya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif Belia Sabah Maju Jaya (Belia SMJ) terus diperkasakan melalui fokus terhadap pembangunan kepimpinan, keusahawanan, latihan kemahiran, TVET, ekonomi kreatif dan pemerkasaan belia di seluruh Sabah.
“Kita mahu memastikan anak-anak muda Sabah bukan sahaja berjaya dalam akademik dan sukan, tetapi turut mempunyai daya saing, peluang pekerjaan dan ruang untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru mahasiswa Sabah agar menjadi ejen perubahan dalam komuniti masing-masing dengan menghidupkan aktiviti sukan serta menarik lebih ramai golongan muda untuk terlibat secara aktif.
“Mahasiswa bukan sekadar penuntut ilmu, tetapi pemimpin masa hadapan yang membawa idea, tenaga dan semangat perubahan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Ikatan Anak-anak Sabah Kampus Gombak dan seluruh jawatankuasa penganjur atas usaha menjayakan program tersebut yang disifatkan memberi sumbangan besar kepada pembangunan anak-anak Sabah di perantauan.



