Unit Perancang Ekonomi (EPU) diminta untuk menubuhkan suatu jawatankuasa tetap Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi membincangkan isu-isu semasa di semua destinasi pelaburan di Sabah.
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) berkata, melalui jawatankuasa itu semua pihak boleh berbincang untuk mengenal pasti kekangan-kekangan dalam menarik kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negeri ini.
“Pegawai-pegawai EPU hendaklah turun padang berbincang secara bersua muka dengan pegawai-pegawai yang terlibat langsung dengan destinasi pelaburan.
“Ahli-ahli jawatankuasa ini termasuklah pegawai-pegawai dari Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sdn Bhd, Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sdn Bhd, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan pegawai dari Invest Sabah Sdn Bhd,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Perbahasan RMK12 semasa Persidangan Dewan Rakyat, di sini, semalam.
Menurut Madius ia penting untuk meningkatkan pelaburan khususnya bagi mencapai sasaran 30% sumbangan sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Seiring dengan itu, Tuaran juga mengulangi cadangan supaya Wilayah-Wilayah Tanah Besar Malaysia khususnya Sabah diisytiharkan sebagai the least developed territories.
“Dengan itu, satu pengecualian cukai dalam beberapa perkara dapat diberikan kepada para FDI dalam sektor pembuatan yang melabur dan ini juga menyumbang untuk menarik kemasukan lebih ramai pelabur,” katanya.
Dalam pada itu, Madius turut mempersoalkan sejauh mana kesungguhan kerajaan untuk memanfaatkan kedudukan negeri Sabah sebagai lokasi strategik yang berpotensi sebagai hab pembangunan pesat ekonomi di rantau ini.
“Apakah kerajaan bersungguh-sungguh menggembleng tenaga dan kekuatan mengoptimakan potensi pelabuhan di POIC Lahad Datu yang sudah dikenali sebagai the Rotterdam of the East, sekali gus untuk memaksimakan potensi ‘The Lombok-Makassar Straits’ terutama dengan adanya perpindahan Ibu Kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur?
“Apakah langkah-langkah untuk menggemblengkan kekuatan lokasi geografi Sabah yang begitu dekat dengan Negara China, serta terletak dì tengah-tengah Brunei Indonesia Malaysia Philippines East Asia Growth Areas (BIMPEAGA)?”