PEMINAT fotografi bergambar kenangan di Pantai Tanjung Aru yang berlatar belakangkan Gunung Kinabalu dan banjaran Croker
LABUAN: Pusat Penerangan Pelancongan Labuan Tourism Malaysia telah menganjurkan lawatan ke beberapa tempat kawasan tarikan pelancongan di pulau ini bersama peminat fotografi tempatan sempena dengan Labuan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulinan Negara (PPN) yang diadakan baru baru ini.
Lawatan selama dua hari yang melibatkan 11 jurufoto tempatan itu mendapat sokongan daripada Anak Jati Keluarga dan Komuniti Tanjung Aru Nelayan.
Pengarah Negeri Tourism Malaysia Sabah, Mohd Faharuddin Hatmin, berharap lebih ramai warga Labuan terutamanya jurufoto untuk bersama sama mempromosikan tempat tarikan pelancongan yang terdapat di sekitar Labuan dalam norma baharu.
“Dengan adanya program, ini diharap lebih ramai warga Labuan turut bersama-sama mempromosikan tempat pelancongan yang mampu menarik pelancong untuk berkunjung ke pulau ini dalam norma baharu”
“Kita juga menyeru orang ramai agar segera mendapatkan suntikan vaksin bagi mencapai imuniti kelompok seterusnya membantu mempercepatkan gelembung pelancongan dan dapat menikmati kelebihan melancong seperti di Labuan,” katanya.

MENARIK… suasana matahari terbenam yang sempat dirakam oleh peminat fotografi.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan dalam lawatan tersebut termasuklah tempat matahari terbenam berlatar belakangkan Geopark Labuan di Pantai Layang-Layangan, kmpemandangan langit waktu malam yang dipenuhi dengan kilauan bintang dan suasana ini boleh dilihat di Pantai Tanjung Aru Nelayan dan pemandangan matahari terbit berlatar belakangkan Gunung Kinabalu dan Banjaran Croker di Pantai Tanjung Aru.
11 jurufoto yang berpeluang menyertai aktiviti itu ialah Roslan Alias (instagram: roslan.alias), Abdul Muqtadir Halim (instagram: muqtadirhalim_), Ramlen Salleh (instagram: ramlensalleh), Hafizah Juman (instagram: hafizahjuman), Haji Zulkifle Hj Kassim (instagram: hkhtt_hj) dan Aidil Rafei (instagram: aidil.rafei).
Turut sama Azmeizan Raimei (instagram: meizankhankunchi), Kelvin Ah Kian (instagram: kelvinahkian), Ashraaf Saimi (instagram: md.ashraaf), Mohd. Khairul Yakop (instagram: m.khairul.yakop) dan Faiz Asali (instagram: faiz_asali).
Sementara itu, Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Labuan, Nor Hidayah Mohd Nor berharap program tersebut dapat mempamerkan bahawa Labuan mempunyai banyak lokasi menarik terutama bagi peminat seni fotografi.
Dalam waktu yang sama katanya, dapat membantu mempromosikan Labuan sebagai sebuah pulau yang mempersonakan dengan pemandangan pantai yang cukup indah terutama sekali diwaktu matahari terbit dan matahari terbenam disamping pelbagai lokasi pelancongan yang menarik dapat disaksikan di Labuan sekaligus melenyapkan persepsi Labuan hanya dapat diterokai dalam masa sehari.
Menurut Nor Hidayah, pelancong mahupun warga Labuan yang berminat untuk melihat gambar-gambar yang mempaparkan kawasan pelancongan yang menarik di sekitar Labuan boleh melayari Facebook Labuan Tourist Information Centre, Tourism Malaysia atau Instargram Tourism Malaysia Labuan dengan tanda pagar #tourismmalaysialabuan.