30 C
Kota Kinabalu
Selasa, November 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Tindakan tegas kepada pengaut untung yang melampau: Amisah

0leh: Liza Din

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin menggesa pihak kerajaan khasnya pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan daripada harga bekalan makanan mentah dan barang basah.

“Jika ada pihak yang ambil kesempatan secara melampau, fikirkan keuntungan semata-mata dalam urus niaga jualan bahan mentah dan barang basah yang menjadi keperluan asas semua rakyat, maka kerajaan perlu kenakan tindakan keras.

“Golongan yang tidak bertanggungjawab, menaikkan harga barang sesuka hati, menyembunyikan barang, mengenakan caj terlampau mahal dan taktik lain yang tidak baik hingga menyusahkan pengguna, mereka tidak patut dibiarkan dan bermaharajalela mengaut untung sedangkan rakyat sengsara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam semasa berucap dalam perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) di sini, kelmarin.

Menurut Amisah, sikap tidak bertanggungjawab sesetangah pihak dan memikirkan keutungan lebih dalam urus niaga adalah suatu perkara negatif yang perlu dibendung sebelum memburukkan keadaan ekonomi rakyat.

Dalam pada itu, Amisah turut meminta agar pihak bertanggungjawab segera mengambil tindakan efisien dalam usaha menangani isu jalan berlubang di sepanjang lalu Kota Kinabalu, melalui Ranau ke Sandakan.

“Kita faham sekarang sektor ekonomi pelancongan mulai pulih dan semakin membaik, namun kita banyak mendengar aduan dan rungutan daripada penduduk setempat khasnya di Ranau, berkenaan masalah kesesakan jalan raya yang dialami.

“Lebih dahsyat, sampai ada yang berkongsi bahawa mereka terpaksa menempuhi perjalanan hamper dua jam dalam kesesakan jalan raya dari Kundasang ke Pekan Ranau, yang hanya mempunyai jarak sejauh 15 kilometer, semasa hujung minggu.

“Masalah ini akan menjadi semakin parah jika tidak diatasi dengan kadar segera, dan paling teruk andai perkara ini menjejaskan imej Ranau sebagai sebuah destinasi pelancongan,” katanya lagi.

Jelas Amisah, tindakan segera bagi memperbaiki masalah kerosakan jalan dan kesesakan jalan itu perlu disegara bagi mengelakkan risko berlakunya kemalangan jalan raya yang mungkin akan membawa kecederaan parah atau kematian kepada mereka yang menggunakan jalan tersebut.

Tambah Amisah juga, aspek penting yang wajar difokuskan dan diteliti oleh semua pihak pada masa kini juga termasuk isu kalangan belia dan pemuda yang terjebak dengan masalah hutang hingga diisytihar muflis.

“Muflis belia, satu lagi isu yang merunsingkan kita, apatah lagi bagi ibu-ibu seperti saya, sudah tentu risau jika anak-anak kita terlibat dengan bebanan hutang yang tinggi, hingga merugikan diri sendiri dan menjadi muflis.

“Status belia muflis menjadi penyebab kepada ramai yang sukar untuk bangkit mencari peluang pekerjaan memulakan semula perniagaan dan aktiviti menjana pendapatan.

“Untuk itu, saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mengkaji semula undang-undang berkenaan masalah belia muflis ini,” katanya.

Kata Amisah, jumlah belia muflis kian membimbangkan dan kerajaan perlu melaksanakan satu langkah untuk membantu golongan tersebut bangkit semula.

“Belia muflis masih boleh diselamatkan, jika mereka mempunyai kemahiran, bakat dan trek rekod tertentu untuk dibantu bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sekaligus melangsaikan masalah hutang dan muflis, pasti mereka dapat keluar dari masalah tersebut.

“Saya percaya, mereka yang bankrap atau muflis ini bukan semuanya gagal menguruskan hutang dengan baik, tetapi sebilangan daripada mereka adalah terperangkat sebagai penjamin, rakan niaga, ditipu dan pihak lain mengambil kesempatan dengan menggunakan nama mereka.

“Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi perlu segera mencari langkah penyelesaian bagi membantu golongan belia muflis ini,” ujar Amisah lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN