SYUKUR… James (tengah) bersama pasangan suami isteri (petak merah) yang berjaya diselamatkan daripada terperangkap banjir.
BELURAN: Tindakan pantas penduduk kampung bersama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib, telah berjaya menyelamatkan sepasang suami isteri yang terkandas banjir di Kampung Cokos, di sini pada Ahad lalu.
James ketika dihubungi media berkata, pasangan itu dipercayai terperangkap dalam banjir lebih kurang 2 jam di salah sebuah ladang kelapa sawit ketika dalam perjalanan membeli susu bayi dan juga makanan asas yang lain.
“Selepas menerima maklumat, saya bersama beberapa penduduk kampung bergerak ke lokasi mereka terperangkap.
“Syukur, mereka berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin.
James (kanan) menaiki bot ketika dalam perjalanan menyelamatkan mangsa terkandas.
James turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung serta pihak lain yang terlibat dalam operasi menyelamatkan pasangan terbabit.
Pada hari yang sama, James turut mengagihkan bantuan 500 bakul makanan dan wang tunai kepada penduduk di Sugut yang terjejas banjir.
James ketika mengagihkan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir
Dalam pada itu, beliau juga mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira parti politik atau badan NGO agar tampil membantu mangsa-mangsa banjir.
“Sedikit sumbangan yang kita hulurkan sudah pasti amat berharga dan bermakna bagi mereka yang ditimpa musibah banjir ketika ini,” ujar James.