Anggota bomba memindahkan mangsa ke tempat selamat sebelum diserahkanbkepada pihak polis
RANAU: Tiga pekerja kontrak elektrik maut berikutan kemalangan ngeri membabitkan kabel elektrik hidup di sini pagi Jumaat.
Ketiga-tiga lelaki itu dipercayai sedang memasang panel solar apabila secara tidak sengaja tersentuh wayar SESB hidup di lokasi berkenaan.
Ketiga-tiga mereka meninggal dunia serta-merta di lokasi dan siasatan pihak berkuasa berkaitan sedang dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi di dalam Perkarangan bangunan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau.
“Kami menerima panggilan pada jam 10.46 pagi menerusi talian MERS999 mengenai kejadian itu, dan sepasukan 7 anggota penyelamat yang diketuai oleh saya sendiri dan Komander Operasi PBKII Mastin Suli bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi yang terletak 1 kilometer dari balai bomba, kami mendapati terdapat empat kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pemasangan solar di JKR Ranau, di mana tiga mangsa terkena renjatan elektrik dan maut di tempat kejadian, dan ia disahkan pegawai Kementerian Kesihatan, manakala seorang lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pihak bomba memindahkan mayat mangsa ke tempat selamat dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Selepas memastikan tiada lagi bahaya, operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 12.03 tengah hari,” katanya.
Tambah Ridwan, agensi lain di tempat kejadian ialah lima anggota SESB, lapan anggota polis dan tiga anggota perubatan.
Menurutnya, mangsa maut dikenali sebagai Wong, 54, Salleh, 34 dan Gimbal, 25, manakala seorang lagi pekerja, Dani, 20 selamat.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua daripada pekerja itu sedang memasang panel solar di lokasi berkenaan, namun salah satu panel berkenaan menyentuh kabel aktif menyebabkan dua pekerja itu terkena renjatan elektrik sebelum rebah ke tanah.
Beliau berkata seorang lagi pekerja dipercayai penyelia cuba memeriksa kedua-dua mangsa, namun malangnya turut terkena renjatan elektrik.