DSP Sammy Newton-Ketua Polis Ranau
RANAU: Polis daerah ini menahan tiga lelaki tempatan di luar sebuah rumah sewa tidak bernombor dekat Kg.Kibarambang di sini pada awal pagi Rabu.
Ketiga-tiga suspek yang berumur sekitar 20an, ditahan sepasukan polis peronda dibantu anggota Rela kira-kira jam1.50 pagi ketika sedang bertugas memantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar daerah Ranau.
Ketua Polis Ranau DSP Sammy Newton dalam satu kenyataan media kemarin berkata, siasatan mendapati kesemua suspek tidak tinggal di Kg Kibarambang.
Menurutnya, mereka kemudian ditahan kerana melanggar PKP dengan gagal memberikan alasan yang munasabah sebab mereka berada di tempat itu.

https://m.facebook.com/boulevardhyperkk
https://m.facebook.com/boulevardhyperkk
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 (1) Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Daerah yang Terinfeksi) (No.3) 2020.
“Jika disabit kesalahan, boleh dipenjara hingga enam bulan atau dengan denda atau keduanya sesuai dengan Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan berdasarkan Peraturan 11 (1) Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Daerah Kawasan Jangkitan) (No.3) 2020 dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya, ”jelas beliau.
Sementara itu, Sammy sekali lagi menasihatkan orang ramai agar mematuhi PKP untuk mengelakkan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang masih ingkar arahan.
“Tangkap dan dakwa. Itu yang akan dilakukan terhadap pihak yang masih ingkar PKP fasa ketiga hingga 28 April ini,” tegasnya. TAMAT