GAMBAR Tiga calon STPM Labuan yang memperolehi PNGK 4.0.
LABUAN: Seramai tiga calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2022 mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0
Tiga pelajar yang berjaya memperolehi PNGK 4.0 itu ialah NurAthikah Hamdan, Nurul Syazwani Ismandi dan Nur Faatin Yusliannah Awang Damit @Yunus.
Sementara itu seramai 48 calon lagi mendapat PNGK 3.0 keatas iaitu meningkat kepada 33.10 peratus berbanding 41 calon iaitu 26.62 peratus tahun 2021.
Demikian diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan, Yusof Mohammad pada Majlis Pengumuman STPM 2022 di SMK Labuan, pada Khamis.
“Secara keseluruhan calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran yang melibatkan calon sekolah kerajaan meningkat 0.49 peratus iaitu sebanyak 97.24 peratus daripada 145 calon berbanding 96.75 peratus pada tahun 2021”, katanya.
Selain itu katanya, seramai 102 calon mendapat empat prinsipal iaitu 70.34 peratus, 19 calon lulus tiga prinsipal (13.10 peratus), 10 lagi calon lulus dua prinsipal (6.90 peratus) dan 10 lagi calon lulus satu prinsipal (6.90 peratus).