MUSNAH… salah satu daripada tiga blok yang musnah dalam kebakaran tersebut.
LABUAN: Tiga blok rumah kongsi pekerja syarikat United Contraction yang menempatkan 56 keluarga musnah dalam kebakaran di Jalan Rancha-Rancha berdekatan Taman Kian Yap dekat sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu seramai 105 daripada 56 buah keluarga terbabit tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka 100 peratus musnah dijilat api.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Ismaidi Ismail berkata tiga blok rumah berkenaan terdiri daripada 15 pintu setiap blok itu musnah sepenuhnya, manakala dua blok lagi berjaya diselamatkan daripada terbakar.
“Bomba menerima panggilan kecemasan daripada pihak pekerja syarikat itu kira-kira jam 11.48 pagi dan anggota bomba bersama sebuah jentera pertama tiba ditempat kejadian pada jam 11.55 pagi sebelum dibantu tiga buah lagi jentera untuk memadam dan mengawal kebakaran daripada terus merebak ke blok yang lain” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

KAWAL… salah seorang anggota bomba mengawal api daripada terus merebak
Beliau yang mengetuai operasi itu berkata seramai 45 anggota penyelamat dengan kekuatan logistik tiga buah jentera kecemasan membabitkan Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera tangki air dan sebuah jentera kecemasan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta sebuah kenderaan utiliti pelbagai guna telah ke lokasi kejadian.
Tiga buah balai bomba yang terbabit masing masing dari balai bomba Layangan, balai bomba Jalan Jawa dan balai bomba Labuan.
Jelasnya, kebakaran dipercayai bermula dari blok kedua dan memandangkan kedudukan blok yang terlalu rapat serta api yang sangat marak telah menyukarkan pihak bomba untuk mengawal api daripada merebak ke bahagian lain.
Bagaimanapun katanya, api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 12.46 tengah hari.
Dalam pada itu, Ismaidi berkata, punca sebenar kebakaran serta nilai kerugian keseluruhan harta benda masih dalam siasatan.
“Pihak kami juga tidak menerima sebarang laporan berhubung kecederaan mahupun kemalangan jiwa dalam kebakaran itu” katanya.
Agensi lain yang terlibat dalam operasi menyelamat itu ialah anggota polis dan Penguatkuasa daripada Perbadanan Labuan.