Deputi Superintendan Sammy Newton
RANAU: Polis daerah ini telah mengeluarkan kompaun ke atas dua peniaga tempatan di sini selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kemarin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton ketika memberitahu media, kedua-dua peniaga tersebut lelaki tempatan berumur 64 dan 54 tahun, menjalankan perniagaan menjual aksesori kenderaan dan bengkel motorsikal.
“Kedua-duanya telah dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana didapati tidak menyediakan buku daftar pelanggan dan alat pemeriksaan suhu di pintu masuk kedai mereka.
“Justeru itu, semua peniaga dinasihatkan supaya mematuhi SOP dikeluarkan kerajaan sepanjang PKPP dengan menyediakan buku daftar pelanggan dan menyediakan alat pemeriksaan suhu di pintu masuk premis perniagaan masing-masing,” katanya.
Selain itu tegasnya, peniaga juga dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan suhu ke atas pelanggan dan memastikan semua pelanggan mendaftar sebelum masuk ke dalam premis perniagaan bagi mengelak tindakan tegas diambil ke atas mereka.https://borneodailybulletin.com/



