DATUK EWON BENEDICK
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, tiada perubahan ke atas institusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedia ada di negeri ini sehingga tamat tempoh perlantikan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah merupakan pihak berkuasa yang melantik badan pentadbiran di peringkat kampung, iaitu MPKK.
Sehubungan itu katanya, semua Pengerusi, Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa MPKK harus meneruskan tanggungjawab mereka sepanjang tempoh perlantikan.
“Sebelum ini di peringkat persekutuan, KPLB Persekutuan telah mengedarkan surat kepada semua Kerajaan Negeri pada 4 Mac 2020 mengenai penangguhan sementara urusan berkaitan MPKK.
“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk meneruskan MPKK yang sudah dilantik dan meneruskan pembayaran elaun yang berkaitan kepada MPKK,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Pada 14 April 2020, KPLB Persekutuan mengedarkan surat kepada semua Kerajaan Negeri bahawa MPKK sedia ada diteruskan bagi membolehkan mereka membantu kebajikan masyarakat kampung sepanjang berhadapan dengan wabak Covid-19.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau mengalu-alukan keputusan tersebut dan telah memaklumkan Jemaah Menteri Sabah pada mesyuarat hari ini.
“KPLB Sabah berpendirian bahawa badan MPKK sedia ada ini memadai untuk mengurus pentadbiran di peringkat kampung.
“Justeru, tiada dasar baru berkaitan MPKK di Sabah sehingga Kerajaan Negeri memutuskan sebaliknya,” katanya –TAMAT