28.4 C
Kota Kinabalu
Rabu, Julai 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Teruskan sokongan padu kepada GRS: Abidin

Abidin (tengah) dan lain-lain menunjukkan tanda bagus kepada program MATT yang diadakan pada Sabtu


RANAU: Rakyat di negeri ini digesa agar teruskan sokongan padu mereka kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kini telah marangkul pelbagai keuntungan kepada negeri ini.


Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), Datuk Abidin Madingkir berkata, antara aspek penting yang dapat dicapai kerajaan GRS ialah berkenaan hak-hak negeri Sabah.


“Ada lapan hak Sabah yang telah dikembalikan kepada Sabah setakat hari ini, termasuklah perlaksanaan Enakmen Perlesenan Tangkapan Ikan Laut Dalam, penyerahan kuasa pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan.


“Selain itu, penyerahan kuasa kawalselia gas, pengiktirafan JKR Sabah dan JPS sebagai JabatanTeknikal, dan penurunan kuasa Hakim Borneo untuk melantik pegawai kehakiman merupakan antara lain yang kita telah capai,” kata beliau.


Abidin menambah, StarSabah adalah parti yang merupakan salah satu tonggak dalam GRS itu adalah sinonim dengan perjuangan mengenai hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Katanya, bermula daripada tahun semasa Presiden Parti StarSabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menjadi CEO Institute for Development Studies (IDS) Sabah, beliau dianggap sebagai Bapa Pejuang MA63.


“Kita di Sabah dapat menikmati banyak keuntungan ini, dan semuanya adalah kerana usaha berterusan yang dilakukan oleh Kerajaan GRS.


“Melalui pelan pembangunan SMJ pembangunan ekonomi perdagangan telah mencapai RM118.1 billion pada tahun 2022 berbanding RM87.2 billion daIam tahun 2021.


“Tahun lepas Sabah telah menarik pelaburan melebihi RM33bil dan memperolehi hasil RM7 billion yang merupakan pencapaian tertinggi kerajaan negeri sejak Sabah mencapai kemerdekaan.


“Kerajaan Sabah juga telah mengambilalih kawalselia guna tenaga dan bekalan letrik daripada Persekutuan,” katanya.


Sementara itu, Abidin yang juga merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu menggesa semua pemimpin Kerajaan GRS untuk terus bekerja keras sebagai ahli komponen untuk memastikan GRS akan terus memegang tampuk kerajaan Sabah selepas PRN akan datang.


“Belia dan beliawanis harus juga diberi perhatian kerana mereka adalah pengundi yang agak besar jumlahnya daIam Daftar Pengundi,” tegas beliau.


Abidin yang juga merupakan Adun Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tri Tahunan (MATT) StarSabah Bahagian N37 Karanaan yang diadakan di Dewan Pisompuruan Kibbas Bawah pada hari Sabtu.


Berkenaan program MATT itu, beliau menasihatkan semua yang hadir bahawa setiap kali sesuatu pertandingan dalaman diadakan, pastikan kesatuan di kalangan ahli tidak tergugat.


“Pastikan kita kekalkan kerjasama antara satu sama lainselepas pemilihan kerana adat pemilihan ada menang dan ada yang kalah. Rapatkan hubungan selepas pemilihan supaya kekuatan parti terjaga,” katanya.


Turut Hadir Ketua Penerangan Parti StarSabah selaku Penyelaras MATT N37 Karanaan, Datuk Jalumin Boyogoh, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO, Jipili Sigal dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN