PERIKSA..Kelihatan Johair bersama beberapa pegawai majlis daerah Beaufort melihat parit yang dipenuhi rumput di kawasan tersebut.
BEAUFORT :Usaha membentuk minda, sikap dan tabiat serta budaya penduduk di negeri ini menjadi masyarakat berminda kelas pertama yang bertanggungjawab, memiliki nilai etika, progresif dan kesedaran tinggi dalam kebersihan serta keindahan persekitaran dan kelestarian alam sekitar perlu diterapkan sebagai budaya kehidupan seharian.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan Klias Datuk Hajah Johair Matlani berkata, dengan adanya pendidikan kesedaran amalan, penghayatan, pembudayaan dan penyebaran, dapat mendidik masyarakat mewujudkan persekitaran bersih dan indah sentiasa berusaha mengekalkan kebersihan dan keindahan alam sekitar disamping mengelak kawasan kotor menjadi tempat pembiakan haiwan yang boleh membawa penyakit .
” Kita perlu memberikan penekanan terhadap pendekatan mendidik dan membentuk masyarakat supaya menghargai dan bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran dan pengurusan sisa pepejal yang sempurna” katanya ketika ditemui selepas menyertai program gotong royong membersihkan kawasan Uptown Belia Beaufort kemarin
Program tersebut disertai oleh para peniaga di Uptown Beaufort Jabatan Bomba dan Penyelamat Beaufort, Majlis Daerah Beaufort, UPPM N25 Klias dan Persatuan Suara Belia Beaufort.
Ianya diadakan sempana pembukaan semula pasar malam Uptown Belia yang tergendala beberapa bulan lepas disebabkan penularan pandemik covid-19
Menurut Hajah Johair yang juga Ketua Bahagian Warisan Beaufort sikap masyarakat menganggap tanggungjawab membersihkan persekitaran di atas bahu pihak berkuasa turut menambah masalah.
Katanya Pembabitan semua pihak bagi menjayakan program dirancang seperti gotong royong tersebut amat penting kerana penjagaan kebersihan persekitaran dan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.
Mengenai gotong royong tersebut Hajah Johair berkata ianya satu usaha murni atas kesedaran untuk sama-sama menjaga kebersihan kawasan itu dimana kawasan tersebut merupakan pusat perniagaan bagi golongan belia yang perlu sentiasa kelihatan bersih dan menarik kerana ianya akan menjadi tumpuan orang ramai untuk berkunjung ke kawasan itu.