26 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Tender pembaikan dan penyelenggaraan asrama SMK Tun Fuad Stephens Kiulu telah dibuka: KPM

SOALAN....Madius (MP Tuaran) ketika dalam Persidangan Dewan Rakyat, hari ini

KUALA LUMPUR:Tender kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu telah dibuka sejak 30 Jun 2020 hingga 03 Ogos depan.

Menteri Pendidikan Malaysia, Senator Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, tender itu melibatkan peruntukkan sehingga RM1.5 juta bagi menampung kos-kos pembaikan asrama berkenaan yang telah diisytiharkan oleh Jabatan Kerja Raya sebagai tidak selamat untuk didiami pada 31 Januari 2020.

“Pembukaan tender ini sepatutnya dibuka pada Mac lalu, namun disebabkan oleh wabak pandemik Covid-19, ia telah ditangguhkan.

“Kerja-kerja akan disiapkan dalam tempoh lapan bulan selepas proses perolehan dibuat,” katanya.

Radzi berkata demikian ketika menjawab soalan kepada menteri daripada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari keempat, di sini, hari ini.

Dalam soalan itu, Madius meminta penjelasan tentang tentang langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil kementerian Pendidikan berhubung dengan masalah asrama yang dihadapi oleh sekolah berkenaan.

Radzi berkata, pihak kementerian menerima maklum terdapat seramai 315 pelajar tinggal di asrama tersebut.

“Memandangkan ia tidak selamat untuk digunakan, pihak sekolah telah mengubahsuai dewan makan, rumah guru, bilik darjah untuk digunakan sebagai asrama sementara yang boleh menempatkan 114 pelajar.

“Selain daripada itu, pihak sekolah bersama badan bukan kerajaan (NGO) telah menyediakan penginapan untuk 58 orang murid di bangunan berdekatan yang telah diubah suai menjadi asrama.

“Pihak sekolah juga sedang mengubahsuai beberapa fasiliti sekolah dan mengenal pasti premis-premis yang bersesuaian untuk disewa sebagai tempat tinggal sementara untuk baki 143 pelajar yang terpaksa berulang alik dari rumah ke sekolah,” katanya.

Radzi memaklumkan kos tambang pelajar terlibat akan ditanggung kementerian sehingga pengubahsuaian dan pencarian kediaman itu selesai.

Dalam pada itu, Madius turut menyatakan soalan tambahan berhubung status bangunan utama SMK Tun Fuad Stephens yang berdasarkan tinjauannya pada 11 Julai turut mengalami beberapa kerosakan pada simen dan dikhuatiri mengalami nasib yang sama dengan bangunan asrama.

“Peruntukan RM1.5 juta yang saya maklumkan sebenarnya bukan hanya untuk asrama tetapi merangkumi seluruh sekolah bergantung kepada fasiliti yang perlu diberi penambahbaikan.

Jadi apa yang kita tekankan, Sekiranya pihak JKR memakluman kepada KPM bahawa keadaan bangunan tak selamat maka kita akan ambil tindakan segera,” jelas Radzi.

Sementara itu Madius ketika ditemui di luar Dewan turut menggesa pihak KPM agar bertindak segera terhadap kediaman flat guru SMK Tun Fuad Stephens yang sudah sekian lama dikosongkan kerana tidak selamat untuk didiami.

“Untuk itu kita minta pihak kementerian supaya bertindak segera untuk mengatasi masalah tersebut sebelum berlaku perkara yang tidak diingini.

“Flat ini sudah lebih 10 tahun tidak digunakan. Robohkan bangunan tersebut dan bina flat guru yang baru,” ujarnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN