25 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Tempoh penebusan RM300 (one-off) penerima BPS 2.0 dilanjutkan sehingga 13 Julai 2021: Jahid

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) memaklumkan bahawa tempoh penebusan RM300 (one-off) penerima Bantuan Prihatin Sabah 2.0 kategori miskin/miskin tegar/e-Kasih telah dilanjutkan sehingga 13 Julai 2021 di seluruh cawangan BSN di negeri Sabah. 

Menterinya, Datuk Jahid Jahim, memberitahu, lanjutan tempoh itu cukup bagi penerima bantuan tersebut yang masih belum membuat penebusan bantuan tunai BSP2.0 sahaja.

“Bagaimanapun, kita meminta semua agar membuat semakan status bantuan terlebih dahulu di pautan https://bkn-covid.sabah.gov.my/bsp-semak/ samada individu itu berstatus LULUS atau TIDAK LULUS dalam pengagihan BSP2.0,” katanya. 

Katanya, rujukan senarai cawangan BSN yang dibuka sepanjang tempoh PKP adalah di https://www.bsn.com.my/page/c19branchclosure. 

Justeru, para penerima dinasihati agar sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) semasa proses menerima bantuan tersebut. 

Menurutnya, sejumlah 51,120 orang penerima BSP 2.0 daripada 153,699 orang senarai penerima BSP 2.0 di bawah kendalian KPLBS merupakan penerima tunai. 

“Manakala selebihnya telah dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima,” tambahnya.

Penyaluran Bantuan Prihatin Sabah (BSP3.0) oleh KPLBS kini sedang berjalan, di mana RM300 secara one-off tersebut adalah bagi membantu mereka yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19. 

Golongan sasar yang dipertanggungjawabkan kepada KPLBS untuk agihan bantuan one-off ini adalah terdiri daripada kategori miskin, miskin tegar dan e-Kasih di negeri Sabah. 

Berdasarkan kepada statistik 2019, 1.9% rakyat Sabah adalah tergolong dalam kategori berkenaan. 

BSP 3.0 adalah bantuan tambahan kepada RM238,369,318 juta yang telah diagihkan menerusi Bantuan Sabah Prihatin 1.0 dan 2.0 (BSP 1.0 & BSP 2.0) pelbagai kategori, sejak hujung tahun lalu, di mana peruntukan BSP3.0 kategori KPLB Sabah adalah sejumlah RM45,612,200. 

Tambahnya, pengemaskinian data bantuan BSP kini sedang giat dijalankan di seluruh daerah agar bantuan BSP3.0 dapat terus dikreditkan ke dalam bank akaun penerima yang benar-benar memerlukan. 

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, memahami bahawa bukan semua penerima BSP mempunyai akaun bank namun ‘exercise’ pengemaskinian data bantuan KPLB perlu dilaksanakan kerana berdasarkan pengalaman penyaluran bantuan melalui tunai di bantuan-bantuan yang lalu didapati bahawa terdapat bantuan yang tidak ditebus oleh penerima tunai. 

Ini secara langsung mengakibatkan penerima tersebut terlepas peluang dibantu Kerajaan, sekaligus menjejaskan pencapaian objektif inisiatif tersebut dibuat. 

Menurutnya, penyaluran bantuan secara TUNAI juga dilihat kurang baik kerana ia bukan saja melibatkan tambahan perbelanjaan Kerajaan Negeri malah juga mengundang masalah, termasuklah gejala penyalahgunaan identiti dan sebagainya.

Menyedari perkara itu, KPLBS telah bekerjasama dengan pejabat-pejabat daerah, pejabat daerah kecil, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bagi melaksanakan pengemaskinian data penerima bantuan. 

Untuk rekod, data penerima bantuan KPLBS telah mula dikumpul sejak tahun 2020, di mana dengan data penerima yang dikemaskini itu baharulah bantuan penerima BSP3.0 dapat disalurkan pada awal bulan Julai 2021. 

“Bagi memudahkan segala urusan, individu kategori miskin, miskin tegar dan e-kasih agar membuat semakan di laman web semakan bantuan https://bkn-covid.sabah.gov.my/bsp-semak/ untuk mengetahui status bantuan masing-masing. 

“Sebarang pertanyaan mengenai BSP seperti kemaskini data, status permohonan, permohonan baharu dan lain-lain boleh terus menghubungi pejabat daerah masing-masing. Ini disebabkan data penerima BSP adalah tanggungjawab pejabat daerah masing-masing,” katanya. 

KPLBS juga boleh dihubungi melalui emel  kplb@sabah.gov.my.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN