Tegar dan isteri – gambar fail
Isu rumah tangga penyanyi Indonesia yang popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Sekarang, Tegar Septian, dan isterinya Sarah Sheila Kamilia bagaikan tidak pernah lekang meniti di bibir orang ramai di negara itu.
Terbaru, Tegar dan Sarah berdepan kata-kata hinaan lebih pedih apabila anak mereka Abidzar Oktaviani Putra Septian disorot netizen apabila wajah bayi tersebut disamakan seperti haiwan.
Menurut Sarah, 23, apabila dia tahu ada seorang netizen menghantar sebuah rakaman audio menghina anaknya itu melalui mesej langsung di Instagram dia terus beristighfar.
“Masih ada saja netizen bercakap perkara tak senonoh dan tidak baik terutama kepada Abidzar.
Saya bilang: Astagfirullah… jangan cakap macam tu lagi.
“Saya pakai imej Abidzar pada paparan telefon genggam, dan terus melihat wajahnya sambil berkata: ya ampun, anak selucu ini dibilang ba**,” katanya melalui saluran YouTube SarahSheilka Channel.
Terdahulu, Tegar, 19, dihina kerana menikahi Sarah ketika mereka dibezakan usia empat tahun. Selain lebih tua, Sarah juga pernah mengalami kegagalan berumah tangga.
Bekas janda itu juga didakwa menikahi Tegar hanya untuk menumpang populariti penyanyi itu.
Tak teragak-agak lepas ini
Untuk rekod, Tegar dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 20 Mac lalu.
Kata Sarah – yang merupakan Instafamous itu – disebabkan kata-kata hinaan yang diungkapkan kepadanya itu dia berasa amat sedih.
“Tegar yang menenangkan saya. Memang sakit hati sejujurnya lepas tu, ya ampun… sedih sangat,” katanya.
Dia juga tidak menyangka ada wanita yang juga memiliki anak tergamak menghina zuriat orang lain.
Kata-kata hinaan tersebut turut menjejaskan emosi Tegar apabila dia mengaku tersinggung.
“Kata-kata perlu dijaga. Masakan Abidzar dikata seperti ba**. Maksudnya apa ya?” katanya.
Bagaimanapun, pasangan tersebut memilih untuk memaafkan individu yang mencerca anak mereka selepas wanita terbabit tampil memohon maaf.
“Saya sudah memaafkan dia selepas dia diserang netizen lain,” kata Sarah lagi.
Pada masa sama, Tegar mengingatkan warganet agar bijak menuturkan perkataan walaupun di media sosial.
Katanya, selepas ini dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang masih menghina keluarganya.
“Guna media sosial harus bijak. Jangan sembarangan,” katanya.-MalaysiaKini



