Tarikh Peperiksaan SPM perlu diubah kerana membelakangkan prinsip Rukun Negara

Tarikh Peperiksaan SPM perlu diubah kerana membelakangkan prinsip Rukun Negara

Madius

KOTA KINABALU, 21 November – Saya menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melihat semula sekali gus mengubah tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan pada 17 November 2021.

Sesungguhnya, penyediaan jadual ini telah membelakangi prinsip-prinsip Rukun Negara dan tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Menurut jadual yang dikeluarkan KPM, peperiksaan SPM akan bermula pada 3 Mac sehingga 20 Mac 2022. Yang menarik perhatian saya, terdapat mata pelajaran yang jatuh pada hari Jumaat dan Ahad.

Seperti yang kita sedia maklum, hari Jumaat merupakan hari bagi seluruh penganut agama Islam menunaikan sembahyang Jumaat.

Manakala, hari Ahad merupakan hari bagi umat-umat Kristian yang ada di Malaysia seperti penganut Roman Katolik, Anglican, Basel dan beberapa lagi dominasi yang lain untuk pergi ke gereja. Dan terdapat juga agama Kristian seperti Seventh-Day Adventist (SDA) yang pergi ke gereja pada hari Sabtu.

Justeru, jadual peperiksaan SPM yang disediakan KPM dengan nyata dan jelas sekali melanggar terhadap kandungan yang pertama dan paling utama Prinsip Rukun Negara iaitu Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan.

Sebagai sebuah negara yang berpaksikan prinsip Rukun Negara sebagai tiang seri Perlembagaan, seharusnya perkara ini tidak berlaku.

Jadual peperiksaan sepatutnya tidak jatuh pada tarikh-tarikh dimana warga Malaysia menunaikan kewajiban terhadap kerpercayaan masing-masing.

Maka dengan itu, saya ingin mendesak kerajaan agar membatalkan dan meminda tarikh-tarikh peperiksaan SPM khususnya yang jatuh pada hari Jumaat dan Ahad (termasuk Sabtu) ke satu tarikh yang tidak berkaitan untuk mana-mana Warganegara Malaysia menunaikan kewajiban mengikut kepercayaan masing-masing.

Jika tidak, ia bukan sahaja melanggar prinsip Rukun Negara yang selama ini kita sanjung tinggi, malah ia juga umpama menconteng arang terhadap YAB Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri kerana penyediaan jadual ini juga bertentangan dengan gagasan Kemakmuran Malaysia yang diperkenalkan YAB Perdana Menteri.

Selain itu, perubahan tarikh jadual peperiksaan juga perlu diselaraskan semula atas keprihatinan terhadap kebajikan para guru seperti mana yang dinyatakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Pihak KPM sepatutnya mempunyai empati terhadap guru-guru yang setiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam mendidik para pelajar sekolah. Berilah mereka ruang untuk berehat pada hujung minggu.

Para guru bukannya robot, perlu rehat dan masa untuk urusan keluarga. Selain itu, pelajar SPM juga boleh mengambil masa bertenang sepanjang hujung minggu sebelum meneruskan fokus dalam menjawab peperiksaan pada hari berikutnya.

Seperti mana tujuan utama pembentukannya iaitu bagi mengangkat perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat serta menjadikan ia sebagai identiti rakyat Malaysia, maka sama-samalah kita menghayati Prinsip Rukun Negara secara menyeluruh, telus dan dengan sepenuh hati.