26 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Tarif elektrik Sabah perlu dikaji semula: PETRA

Tarif elektrik Sabah perlu dikaji semula, bagi kurangkan kebergantungan SESB kepada subsidi Kerajaan Persekutuan: PETRA

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan komited dan menyokong agenda pembangunan penjanaan elektrik di Sabah bagi memastikan rakyat menerima manfaat di samping sistem pembekalan elektrik yang lebih stabil dan terjamin.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), untuk itu jumlah siling indikatif subsididaripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi tahun 2024 hingga 2030 adalah sebanyak RM3.54 bilion.

“Ia merangkumi subsidi bahan api, subsidi solar berskala besar, subsidi sokongan tarif dan subsidi Tenaga Boleh Baharu (FiT).

“Jumlah ini adalah berdasarkan analisis yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) sekiranya Kerajaan Sabah melaksanakan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh tersebut.

“Subsidi ini perlu dimohon oleh SESB melalui Kerajaan Negeri Sabah dan tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan.”

PETRA menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada sesi Soalan Lisan pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Dalam soalannya Madius meminta PETRA menyatakan usaha-usaha kementerian itu memastikan SESB tidak lagi bergantung kepada sokongan tarif subsidi daripada Kerajaan Persekutuan dan reserve margin mencapai lebih 30% menjelang tahun 2030.

Kementerian tersebut memaklumkan, bagi mengurangkan kebergantungan SESB kepada subsidi daripada Kerajaan Persekutuan, tarif asas elektrik di Sabah perlu dikaji semula supaya mencerminkan kos sebenar.

“Walau bagaimanapun, berikutan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada Kerajaan Sabah pada 3 Januari 2024, penetapan tarif elektrik serta segala perancangan untuk pelan pembangunan penjanaan elektrik, perolehan, pemantauan dan penyeliaan projek serta penyelesaian isu-isu dan masalah berkaitan pembekalan elektrik di Sabah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sepenuhnya.

“Berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS), beberapa projek penjanaan yang besar sedang dirancang.

“Antaranya ialah pembelian tenaga dari Sarawak menjelang tahun 2025, pembangunan loji jana kuasa baharu berkapasiti 100MW masing-masing pada tahun 2026 dan 2027, serta pembangunan ladang solar berskala besar berkapasiti 100MW pada tahun 2026.

“Kerajaan Sabah juga akan mengemas kini perancangan ini melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah setiap tahun melalui mesyuarat Majlis Tenaga Sabah yang dijangka akan diadakan pada suku kedua tahun 2024,” ujar PETRA.

Kementerian itu memberitahu, Kerajaan Sabah juga difahamkan akan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan potensi penjanaan elektrik melalui sumber hidro di Sabah melalui hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dibangunkan oleh pihak ECoS.

Menurut PETRA lagi, Kerajaan Negeri juga akan meneroka perancangan talian penghantaran melalui sambungtara Sabah dan Kalimatan Utara, penerokaan teknologi dan sumber penjanaan baharu seperti geoterma, angin dan hidrogen.

“Perancangan-perancangan tersebut juga akan diperhalusi dibincangkan melalui Majlis Tenaga Sabah.

“Langkah-langkah tambahan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri melalui ECoS ialah pengenalan skim insentif Demand Side Management (DSM), dan pelancaran program SELCO-PV SABAH untuk meningkatkan penggunaan PV solar serta menggalakkan kecekapan dan konservasi tenaga.

“Kempen ini telah bermula dengan premis Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Sabah yang dimudah cara oleh pihak ECoS.

“Dengan pendekatan strategik oleh Kerajaan Sabah melalui ECoS dan SESB bagi meningkatkan kapasiti penjanaan dan mengurangkan permintaan tenaga semasa waktu puncak, Kerajaan Persekutuan percaya bahawa masalah bekalan elektrik di Sabah dapat dikurangkan dan dapat mencapai 30% reserve margin menjelang tahun 2030,” ujar PETRA.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN