Para pelajar mengambil gambar kenangan di hadapan pintu gerbang taman sekolah yang baru siap dibina. Turut kelihatan Dr Jakaria Dasan (tengah).
RANAU: Seramai tujuh pelajar Program Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) menjayakan Projek Tanggungjawab Sosial (CSR) Keceriaan Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Mesilou, Kundasang di sini, baru-baru ini.
Kesemua mereka terdiri daripada kalangan pelajar yang bekerja dan sedang melengkapkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS.
Menurut kenyataan UMS, program yang dilaksanakan adalah sebahagian daripada penilaian yang dilaksanakan dalam Kursus Komunikasi Korporat.
āMenerusi kursus ini para pelajar diberi pendedahan mengenai teknik mengurus program libatsama masyarakat bermula dari mengenal pasti isu atau masalah dalam komuniti, penyediaan kertas cadangan, dan mengusahakan dana melalui aktiviti keusahawanan serta inisiatif-inisiatif lain yang berkaitan.
āPara pelajar juga dikehendaki berhubung dengan organisasi terlibat serta mengenal pasti dan melibatkan pertubuhan atau persatuan berkaitan dengan aktiviti yang dijalankan,ā demikian menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu memaklumkan, antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah pembinaan gerbang taman sekolah secara bergotong royong bersama ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Mesilou dan Kelab Kesukarelawanan Mesilou (MEVOC).

āSelain itu, program tanggungjawab sosial ini juga menceriakan perpustakaan sekolah melalui aktiviti mengecat bangunan berkenaan.
āProgram ini turut menjemput Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) UMS, Dr Jakaria Dasan, untuk berkongsi dua tajuk kepada ahli-ahli komuniti iaitu āLibatsama Masyarakat Melalui Program CSR dan Knowledge Transfer Program (KTP),ā jelas kenyataan itu lagi.
Sementara itu, salah seorang pelajar yang juga Ketua Projek, Franky Dominic melahirkan rasa syukur atas kelancaran dan penglibatan dalam program yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
āIa bukan sahaja menjadi platform untuk kami mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di UMS, bahkan juga dapat membuat praktikaliti ilmu di lapangan, iaitu dalam komuniti SK Mesilou, Kundasang.
āJika selama ini kami hanya bersua muka secara dalam talian, program ini membolehkan kami bertemu secara fizikal bersama rakan pelajar lain yang berasal dari Tawau, Semporna, Kunak, Sandakan, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
āSegala pengalaman yang diperolehi akan kami terap dan kongsikan kepada rakan sekerja sekali gus membawa budaya aktiviti tanggungjawab sosial korporat kepada komuniti di pejabat masing-masing,ā ujarnya yang berkerja di Suruhanjaya Koperasi Malaysia cawangan W.P.Labuan.
Program sehari itu turut dihadiri Guru Besar SK Mesilou, Malini Harun; Pengerusi PIBG dan MEVOC, Samsul Sinun; dan kakitangan SK Mesilou.