Robert disambut oleh AJK sambutan Pesta Kaamatan JKDB Pekan Bingkor.
KENINGAU: Tamu bulanan akan diwujudkan di Pekan Bingkor sebagai salah satu produk pelancongan baharu di kawasan ini.
Pembantu Menteri Kerja Raya l Datuk Robert Tawik berkata, ini adalah antara usaha bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong daripada luar dan dalam negara untuk berkunjung ke daerah ini.
“Produk pelancongan perlu kita majukan dan juga saya ada menyarankan supaya tamu ini kita adakan tamu bulanan yang mana Daerah Keningau ini belum ada tamu bulanan.
“Tamu bulanan yang diadakan di Pekan Bingkor ini akan dibuat oleh pihak-pihak yang berwajib dan juga produk-produk pelancongan kita akan bawa dalam usaha serupa ini,” jelasnya.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata demikian kepada media selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Bingkor di Dewan Tamuon Aki Tingadon, baru-baru ini.
Katanya, usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi hasil pengeluaran produk kraftangan tempatan dan sebagainya sekali gus mewujudkan sosioekonomi penduduk setempat.
Tambahnya, beliau juga akan sentiasa membantu semampunya pengusaha tempat-tempat pelancongan yang terdapat di Daerah Keningau ini khususnya DUN Bingkor kerana usaha ini turut membantu mewujudkan sumber pendapatan kepada penduduk yang berada di sekitarnya.