LABUAN: Kadar tambang bot penumpang bagi perjalanan sehala dari Menumbok ke Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada harga asal RM9, berkuat kuasa serta-merta mulai hari ini (11 November).
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan media berkata keputusan itu dicapai hasil dua sesi perjumpaan antara kementerian bersama agensi kerajaan berkaitan dan Persatuan Pengusaha bot bot laju (penumpang) Menumbok.
“Sesi perjumpaan itu secara tidak langsung telah berhasil menyelesaikan isu kenaikan tambang kepada RM12 yang dikenakan mulai 1 November lalu kepada kadar asal RM9 “, katanya.
Armizan menjelaskan , KPDN dan agensi kerajaan berkaitan akan membantu mempercepatkan kelulusan permohonan subsidi petrol RON95 sebaik para operator bot yang layak membuat permohonan melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bermula 13 Nov 2025.
“Sebagai langkah interim, para operator bot yang layak akan dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik kos tambahan bahan api melalui sistem yang sama. Kelayakan tuntutan berkuat kuasa 11 Nov 2025. Tuntutan bayaran balik untuk tempoh 30 Sept 2025 hingga 31 Okt 2025, ketika harga tambang belum dinaikkan dan operator bot terpaksa menanggung kos tambahan, juga akan dipertimbangkan dengan disertai rekod pembelian”, katanya.
Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Limus Jury, mantan ADUN Kuala Penyu yang telah membantu dalam memastikan kepentingan dua-dua pihak iaitu pengguna dan dan pengusaha bot penumpang diberikan perhatian.



