30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Julai 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Tambahan Peruntukan Kepada Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Bukti Keprihatinan Kerajaan Sabah

Oleh: Marryan Razan

KOTA BELUD: Peningkatan peruntukan khas kepada Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam termasuk sekolah-sekolah persendirian dan mubaligh pada tahun hadapan bukti keprihatinan Kerajaan Sabah kepada rakyat negeri ini.

Ewon menyampaikan sijil penghargaan kepada mantan Adun Kadamaian, Datuk Yapin Gimpoton.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, Ketua Menteri Sabah telah mengambilkira semua syor ahli-ahli Jemaah Menteri dari kalangan penganut Kristian agar peruntukan bagi tujuan tersebut dinaikkan pada tahun hadapan.

“Justeru, sebagai seorang Ahli Jemaah Menteri Sabah yang menganuti agama Kristian, saya amat menghargai dan berterima kasih atas kenaikan tambahan peruntukan daripada RM35 juta pada tahun ini kepada RM43 juta pada tahun hadapan sepert yang dibentangkan oleh Ketua Menteri dalam Belanjawan Sabah Tahun 2020.

“Penambahan peruntukan itu pastinya akan memberi lebih banyak manfaat kepada gereja-gereja serta rumah-rumah ibadah dan sekolah-sekolah persendirian bukan Islam di seluruh Sabah,” katanya.

Ewon bersama-sama para umat gereja menyanyikan lagu natal pada majlis itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mendedikasikan Bangunan Gereja SIB Kg Singgah Mata, Kadamaian dan Sambutan Krismas, di gereja itu, di sini, pada Sabtu.

Dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2020 pada Jumaat, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam, Sekolah-Sekolah Persendirian Bukan Islam dan Sekolah Mubaligh.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berharap pimpinan gereja melalui sidang pusat masing-masing dapat menguruskan permohonan untuk dikemukakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan pada tahun hadapan.

Ewon menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM3,000 untuk mengisi Tabung Gereja SIB Kg.Singgah Mata

“Bagi keperluan gereja-gereja, ianya akan disalurkan kepada pimpinan sidang pusat denominasi gereja tersebut,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ewon menyatakan akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Permuafakatan Sekolah-Sekolah Swasta (Sekolah Persendirian Bukan Islam) Kota Belud awal tahun hadapan bagi mengenalpasti keperluan sekolah-sekolah tersebut untuk dikemukakan kepada pihak Kerajaan.

“Saya mahu melihat tiada sekolah dan tadika persendirian yang dikelolakan oleh gereja terlepas pandang semasa mengagihkan peruntukan tersebut pada tahun hadapan.

“Ini kerana peruntukan ini boleh disalurkan terus kepada akaun badan sekolah tersebut. Sebagai Ahli Jemaah Menteri Negeri, saya berharap dapat memudahcara permohonan-permohonan ini kelak,” katanya.

Ewon turut memberikan komitmen menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000 di bawah peruntukan Adun Kadamaian bagi membekalkan kerusi-kerusi kayu untuk diagihkan kepada gereja-gereja kawasan Kadamaian yang memerlukan pada tahun 2020.

“Sepanjang tahun ini, saya menerima beberapa permohonan daripada gereja-gereja di Kadamaian yang memohon kerusi kayu panjang bersandar termasuklah di gereja SIB Kg Singgah Mata ini. Justeru, saya akan menyediakan peruntukan RM50,000 daripada peruntukan saya sebagai Adun pada tahun hadapan untuk tujuan ini.

“Saya tahu peruntukan ini tidak akan mencukupi, tapi pejabat perhubungan saya dan pejabat UPPM Kadamain telah menyediakan senarai gereja terawal yang telah mengemukakan permohonan berkaitan. Saya berharap ia sedikit sebanyak membantu keperluan gereja-gereja di Kadamaian kelak,” katanya.

Bersempena majlis itu, Ewon turut dibawa meninjau kemudahan dan kelengkapan tambahan bangunan gereja SIB Kg Singgah Mata yang telah disiapkan dengan menggunakan peruntukan Adun sebanyak RM10,000 pada tahun ini.

“Saya akan meneruskan komitmen untuk pembangunan badan-badan keagamaan di kawasan Kadamaian bukan hanya untuk masyarakat Kristian, tetapi juga masyarakat Islam tertakluk kepada peruntukan yang saya boleh gunakan atau peruntukan yang kita boleh dapatkan daripada kementerian lain. Dengan ini, saya juga berharap agar perpaduan dan keharmonian masyarakat di Kadamaian dapat diperkasakan sepanjang masa,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM3,000 untuk mengisi tabung gereja SIB Kg Singgah Mata.

Beliau turut meluangkan masa meninjau kerja-kerja pelaksanaan pembaikan dan pembesaran padang Kg Singgah Mata yang melibatkan peruntukan sebanyak RM30,000 di bawah peruntukan Adun Kadamaian tahun ini.

Turut hadir mantan Adun Kadamaian Datuk Yapin Gimpoton, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis, Setiausaha Perhubungan KPLB Sabah Charles Dalansing dan pemimpin-pemimpin gereja Mukim Taginambur.

Selepas majlis itu, Ewon menyempurnakan Program Kesedaran Penyakit Tibi Dalam Komuniti di Kg Malangkap Baru, Kadamaian dan menyampaikan sumbangan program touchpoints Adun sebanyak RM5,000 kepada MPKK Kg Malangkap Baru untuk membaikpulih sistem perpaipan bekalan air graviti yang akan dilaksanakan kelak melalui aktiviti gotong-royong. -TAMAT-

Ewon meninjau kerja-kerja pembaikan padang Kg Singgah Mata.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN