MUSTAPHA (tengah) menerima cenderamata daripada Prof. Dr. Coswald sambil diperhatikan Thomas Mathew (kiri).
LABUAN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui agensinya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menganjurkan program Young Employable Students (YES!) We Are Ready 2023 di Dewan Kuliah Pusat, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru –baru ini.
Lebih 400 orang pelajar menyertai program selama tiga hari tersebut yang dipenuhi dengan aktiviti untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, termasuk kesedaran tentang prospek kerjaya masa hadapan, penjenamaan peribadi melalui kemahiran utama komunikasi, serta kaedah penyelesaian masalah kreatif melalui pemikiran inovatif.
Majlis penutupan program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Ts. Mustapha Sakmud.
Mustapha ketika berucap pada majlis itu berkata, TalentCorp berusaha untuk memastikan Malaysia mempunyai bakat yang diperlukan untuk bersaing dalam ekonomi global.
Jelasnya, Inisiatif YES! oleh TalentCorp merupakan kaedah intervensi proaktif untuk pelajar dari sekolah ke alam pekerjaan bagi meningkatkan ketersediaan dan kebolehpasaran graduan masa hadapan serta dilengkapi dengan kemahiran dalam permintaan oleh majikan.
“Pada tahun ini inisiatif YES! diperluas dengan melibatkan institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai langkah strategik untuk menangani isu ketidakpadanan pekerjaan dalam tenaga kerja” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew berkata Malaysia mempunyai tenaga kerja muda yang memenuhi keperluan pelabur.
Justeru itu katanya, TalentCorp terus berusaha berkolaborasi dengan rakan industri, institusi pendidikan dan agensi Kerajaan.
“Mana-mana majikan yang berkepentingan dalam menentukan keperluan kemahiran serta menyediakan peluang latihan industri, mereka boleh mengemukakan permohonan melalui Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) TalentCorp.
“Menerusi inisiatif ini, mereka boleh membina kumpulan bakat mereka, dan majikan yang layak boleh menerima manfaat daripada insentif potongan cukai berganda MySIP.”katanya.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor yang turut berucap pada majlis itu berkata kerjasama dan sinergi yang ditunjukkan kedua-dua belah pihak adalah satu contoh terbaik dalam meningkatkan kualiti graduan khususnya yang dikeluarkan oleh UMS demi memastikan mereka mempunyai kemahiran serta berdaya saing untuk masa depan.
Katanya, program ini menawarkan penyelesaian berfokus bagi graduan untuk menentukan hala tuju kerjaya, melengkapkan diri dengan kemahiran dan keyakinan untuk memasuki pasaran kerja.
“UMS juga bertanggungjawab dalam memastikan pelajar dapat memilih dengan bijak dan membuat keputusan yang sesuai dengan bakat dan kebolehan mereka.
“Program YES! ini diharapkan dapat meningkatkan ekosistem peluang pekerjaan graduan dan memperkukuhkan bakat graduan di UMS dan institusi pengajian tinggi lain di sekitar Labuan.
Teks ucapan beliau dibacakan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri.
TAMAT
GAMBAR: –
1.MUSTAPHA (tengah) menerima cenderamata daripada Prof. Dr. Coswald sambil diperhatikan Thomas Mathew (kiri).
2. MUSTAPHA (empat kanan), Prof. Dr. Coswald (lima kanan), Thomas (tiga kanan) dan Dr. Geoffrey (lima kiri) bersama peserta program Young Employable Students di Dewan Kuliah Pusat UMSKAL.