SIMBOLIK……..Jonathan (tiga kanan) melakukan upacara ‘Mangasok’ dalam bahasa tempatan atau Menugal sebagai simbolik perasmian sempena majlis itu diiringi Pengerusi Penganjur disaksikan sebahagian penduduk Kg. Sosondoton Ranau.
Oleh: Salwah Aramat & Editor
RANAU: Semangat perpaduan, kesyukuran dan kecintaan terhadap warisan budaya terus diperkukuh menerusi Sambutan Tadau Ka’asakan 2026 Kampung Sosondoton, di sini, baru-baru ini.
Majlis yang dirasmikan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, itu menjadi wadah bagi penduduk setempat berkumpul dalam suasana penuh kemeriahan, selain mempererat hubungan silaturahim dan semangat kekitaan dalam kalangan komuniti.
Dalam ucapannya, Jonathan berkata sambutan berteraskan budaya dan tradisi mempunyai peranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, di samping memastikan identiti serta warisan yang diwarisi daripada generasi terdahulu terus dihargai.
Beliau berkata tradisi masyarakat perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar nilai budaya, adat serta semangat kebersamaan tidak terhakis akibat perubahan zaman.
“Kekuatan sesebuah kampung bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal, tetapi turut dipacu oleh kesepaduan masyarakat yang saling menyokong dan bekerjasama dalam menghadapi cabaran.”
Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk supaya terus membudayakan amalan gotong-royong, saling membantu serta mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan.
Menurutnya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti bersama bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan sesama penduduk, malah mewujudkan komuniti yang lebih prihatin, harmoni dan berdaya tahan.
Jonathan berkata sambutan seperti Tadau Ka’asakan turut berperanan sebagai platform untuk menghimpunkan masyarakat tanpa mengira latar belakang, sekali gus memupuk persefahaman serta mempererat hubungan dalam komuniti.
Beliau berharap semangat perpaduan dan kebersamaan yang tercetus menerusi sambutan itu tidak berakhir selepas program berkenaan, sebaliknya diteruskan dalam kehidupan seharian melalui budaya saling menghormati, bekerjasama dan menjaga kepentingan bersama.
Sambutan Tadau Ka’asakan 2026 Kampung Sosondoton itu turut mencerminkan komitmen masyarakat setempat dalam memelihara warisan budaya, menghargai hasil yang diperoleh serta memperkukuh perpaduan sebagai landasan pembangunan kampung.
Sambutan berkenaan membawa tema “Bersatu Hati, Bersyukur atas Hasil, Menyubur Tradisi, Membangun Kampung.”



