28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Tabung Pendidikan Negeri Sabah bantu anak Sabah lanjut pengajian di IPT: Khairul Firdaus

OLEH: LIZA DIN

KOTA KINABALU: Usaha Kerajaan Negeri Sabah bagi membantu anak Sabah untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPA) melalui kutipan dana Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) adalah bukti keprihatinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) kepada generasi muda.

Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata inisiatif itu adalah sebuah usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak Sabah yang kurang berkemampuan, dapat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ramai-anak-anak muda, adik-adik kita yang tamat pengajian sekolah menengah atau Pra-U, bijak, dapat keputusan cemerlang dan ditawarkan untuk menyambung pengajian ke IPT, namun kadang kala terdapat kekangan yang menghalang adalah dari segi kewangan.

“Inisiatif kerajaan GRS-BN melalui TPNS adalah sebuah usaha yang saya sendiri lihat mampu memberi manfaat dalam pembangunan modal insan khasnya anak-anak Sabah yang mahu menjejakkan kaki ke menara gading,” katanya.

Khairul Firdaus berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Khairul Firdaus, kerajaan GRS-BN juga amat peka dan ingin anak-anak Sabah yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian, meneruskan usaha dan pengajian mereka tanpa dihalang oleh masalah kewangan.

“Kerajaan sentiasa mahu anak-anak Sabah yang mendapat peluang untuk menyambung pengajian, terus ke depan, terima tawaran tersebut dan fokus kepada pengajian, tamatkan pengajian dengan cemerlang, banggakan negeri Sabah dengan kecemerlangan anda kerana anda semua adalah modal insan dan aset utama negeri Sabah.

“Ini juga termasuk dalam inisiatif hala tuju Sabah Maju Jaya, yang mana TPNS ini adalah khas untuk anak-anak Sabah dari golongan B40 dan ini adalah berlainan dengan biasiswa sedia ada Kerajaan Negeri ataupun pinjaman yang disediakan oleh Yayasan Sabah,” katanya.

Tambah Khairul Firdaus lagi, TPNS yang juga merupakan sebuah inisiatif Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah (2015-2023) yang bertujuan untuk memberi lebih banyak tajaan bagi anak-anak Sabah yang bakal melanjutkan pengajian ke IPT itu juga adalah sebuah usaha pembangunan yang memfokuskan kepada jangka masa panjang dan mampu membawa banyak manfaat kepada negeri Sabah.

“Dengan adanya TPNS, pastinya anak-anak Sabah yang menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian, mampu menerima tawaran tersebut dan keluarga mereka juga tidak perlu runsing memikirkan kos yang perlu dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian anak mereka.

“Dan pastinya anak-anak Sabah yang selesai pengajian mereka kelak, akan menabur bakti kepada pelbagai sektor dan agensi tidak kira di dalam negeri atau luar negeri, dengan membawa identiti Sabah dan ini adalah suatu kebanggaan kepada kita semua apabila anak-anak kita berjaya kelak,” tambahnya lagi.

Khamis lalu (2 Jun), Kerajaan Negeri telah menyumbangkan RM50 juta kepada TPNS sempena pelancaran TPNS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Setakat ini, TPNS telah mengumpul tabung berjumlah RM54.5 juta melalui sumbangan Kerajaan Negeri Sabah, Benta Wawasan Sdn. Bhd., Innoprise Plantations Berhad, Yayasan Lau Gek Poh, Ikatan Kayangan Sdn. Bhd dan Usahawan Borneo Group.

“Syarikat-syarikat besar yang beroperasi dan menjana keutungan dalam negeri Sabah amat dialu-alukan untuk tampil dan memberi sumbangan bagi TPNS menambah dana kerana ini adalah untuk masa depan anak-anak Sabah.

“Sumbangan ini amat besar maknanya dan akan menjadi satu ihsan, merealisasikan sebuah harapan, impian dan cita-cita, lebih ramai anak-anak Sabah yang menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke IPT di dalam dan luar negara,” ujar Khairul Firdaus lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah sentiasa peka dan sedar tentang kepentingan pendidikan sebagai kunci utama bagi memajukan negeri.

“Kerajaan GRS-BN sentiasa berhasrat untuk memajukan negeri Sabah ke hadapan dengan menjadikan pendidikan sebagai kunci utama dalam usaha merealisasikan Sabah Maju Jaya.

“Selain itu, saya juga sangat berharap agar kesedaran mengenai kewujudan TPNS diketahui oleh semua rakyat Sabah dan dapat dinikmati oleh mereka yang selayaknya,” tambahnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN