ADVERTISEMENTspot_img

PDRM: Suspek curi kereta Axia sudah ditangkap

Oleh: Aduka Jasnin Suman

RANAU: Dua lelaki disyaki terlibat mencuri sebuah kereta Perodua Axia di sini pada Sabtu berjaya ditangkap anggota RELA dan orang kampung di Kg.Tungou pada pagi hari Ahad.

Kedua-dua suspek yang berumur antara 26 hingga 30 tahun itu, dipercayai dari luar daerah, telah diserahkan kepada polis oleh anggota RELA yang terdiri penduduk Kg.Tungou.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Mohd Shahrul Datuk Haji Abdul Wahab ketika mengesahkannya tangkapan itu berkata, suspek berjaya diberkas dalam kawasan belukar tidak jauh dari kereta Axia ditemui.

Katanya, turut dirampas, senjata buku lima dan pisau lipat. Kedua-dua suspek turut mempunyai beberapa rekod tangkapan dari daerah lain.

Dua daripada suspek curi kereta di Ranau pada Sabtu , ditangkap

“Terdahulu, seorang lagi rakan suspek yang turut terlibat, remaja perempuan berumur 18 tahun, telah ditahan sepasuakan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ranau, juga di Kg.Tungou pada petang Sabtu.

“Penahanan remaja tersebut membawa kepada rampasan tiga buah telefon bimbit pelbagai jenis dan sebilah parang. Suspek telah dibawa ke IPD Ranau untuk siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, jelas Mohd.Shahrul.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.05 pagi pada Sabtu, di hadapan sebuah kedai runcit Era Jaya, Kg.Rapak dekat simpang Marakau, sebuah kereta jenis Perodua Axia-1000G telah dicuri.

Menurut DSP Mohd Sharul, mangsa seorang suri rumah berumur 32 tahun telah meletakkan keretanya di hadapan kedai runcit itu untuk membeli barang keperluan.

“Setelah lebih kurang 10 minit, apabila mangsa kembali ke kereta miliknya, mangsa mendapati keretanya telah hilang dipercayai dicuri. Mangsa seterusnya membuat laporan polis di IPD Ranau.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ranau seterunya membuat rondaan bagi mengesan kenderaan dilaporkan hilang itu dengan dibantu anggota URB IPD Ranau.

KEMALANGAN.. Kereta Axia yang disyaki dicuri, ditemui kemalangan dekat Kg.Tungou

“Kira-kira jam 01.35 petang, polis berjaya mengesan dan menemui kenderaan tersebut yang telah kemalangan di Kg.Tungou, 32 kilometer daripada pekan Ranau hasil maklumat orang awam.

“Hasil pemeriksaan di sekitar kawasan kemalangan tersebut, suspek seorang remaja perempuan telah dibekas di kawasan belukar berhampiran dan kemudiannya ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan tersebut,” jelasnya.

Anggota RELA dan penduduk Kg.Tungou , bersama dua suspek yang berjaya diberkas

Menurutnya lagi, hasil siasatan awal ke atas remaja itu mendapati terdapat dua lelaki yang merupakan rakannya telah melarikan diri sejurus selepas kemalangan.

Mohd Sharul, turut mengucapkan terima kasih kepada RELA Ranau khusunya anggota RELA Kg.Tungou dan masyarakat yang terlibat dalam membantu mengesan hingga tertangkapnya suspek berkenaan.-BB

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN