Jali (duduk tengah) bersama Ahli Jawatankuasa Penganjur zahir penghargaan kepada semua
PITAS: Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Bola Sepak Supervet Terbuka Sabah, Jali Suntang (gambar) menzahirkan ucapan setinggi penghargaan kepada semua daerah yang mengambil bahagian, penyertaan bekas-bekas pemain negeri/kebangsaan dan sumbangan yang diberikan oleh para pemimpin politik dalam menjayakan program tersebut.
Berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di Padang Majlis Daerah Pitas baru-baru ini, Jali amat berterima kasih atas kehadiran wakil YB Dato’ Sri Ruddy Awah, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap ADUN N3 Pitas, Ramlah Nasir (Pegawai Pembangunan Masyarakat) untuk menyempurnakan majlis penutupan karnival tersebut.
“Tahniah kepada semua pemenang atas kejayaan merangkul piala tempat pertama hingga ke-4. Kami berasa terharu dengan penyertaan luar biasa terutama dari Labuan (Lavestar) yang dibarisi 6 bekas pemain legenda bola sepak Sabah iaitu Dul Alias, Sammy Kassim, Karti Tukimin, Ahmad Jasad dan Paddy Edwin Lahan. Sementara itu Harun Laban dan Domo Samit mewakili pasukan TABFA, Ignatius Joseph (Clasico Ranau), Matlan Marjan (Putera Vet 169 Kota Belud), Matnor Ukang (Kalumpang SV) dan ramai lagi. Para penonton begitu terhibur dengan persembahan anda semua,” katanya.

Pemain Legenda bola sepak Sabah: (dari kiri) Matlan Marjan, Harun Laban, Karti Tukimin dan Ignatius Joseph antara yang menyertai kejohanan tersebut.
“Di sepanjang karnival, semuanya berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang insiden pergaduhan. Hanya sedikit kecederaan di kepala akibat pertembungan tandukan di udara manakala keadaan cuaca ada kalanya hujan tapi permainan dapat diteruskan hingga ke akhir perlawanan,” jelas Jali.
“Syabas juga kepada pihak pengadil yang dapat bertugas dengan adil dan cemerlang sekali yang semuanya berasal daripada anak jati Pitas. Demikian juga kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) terutama sekali ketika dalam kecemasan,” katanya.
“Kepada YB Dato’ Sri Ruddy Awah dan YB Harun Durabi, kami zahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas sumbangan besar terhadap karnival ini. Sekalung penghargaan juga buat Timbalan Presiden Pitas FA yang menyokong anjuran ini serta beberapa individu yang sudi menderma dana kepada pihak penganjur iaitu Ketua Puteri Umno P167 Kudat, Dato Verdon, Tuan Ariffin Md. Tasin (CDO N3 Pitas) Mohd. Ashka Alishamion (Pemaju Mukim UMNO N2 Bengkoka), Muhammad Affan (Naib Ketua Armada Bahagian Kudat), Moktar Amirol dan mereka yang terlibat samada secara langsung atau tidak dalam menjayakan Karnival Bola Sepak Supervet Terbuka Sabah anjuran Pitas Legend pada tahun ini,” katanya.
Dalam kejohanan itu, pasukan Clasico Ranau muncul juara menerima hadiah RM6K berserta sebuah piala dan medal. Naib johan, Laverstar (Labuan) menerima hadiah RM4K (piala, medal) manakala tempat ketiga bersama daripada pasukan Kalumpang SV dan Putatan Legend masing-masing menerima RM2K berserta sebuah piala dan medal.