MUSNAH…. keadaan 80 peratus rumah yang terbakar dalam kejadian di Marinding Garden pagi Rabu
LABUAN: Seorang sukarelawan lelaki meninggal dunia selepas membantu menyelamatkan sebuah keluarga dalam kejadian kebakaran rumah di Marinding Garden, dekat sini, awal pagi pada Rabu.
Mangsa yang dikenali sebagai Gillian Donald 41, disahkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dipercayai akibat terhidu bau asap yang berlebihan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Supritendan Mohd Hazimi Halim berkata, lelski mulia itu yang juga jiran mangsa kebakaran telah berjaya menyelamatkan tujuh mangsa keluar dari rumah yang terbakar.
“Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4 pagi itu, mangsa telah menyedari kejadian rumah jirannya terbakar, lalu berusaha untuk membantu menyelamatkan semua penghuni (tujuh orang) daripada terperangkap dalam kebakaran tersebut.
“Selepas berjaya membawa keluar semua penghuni, mangsa berasa keletihan dan tidak bermaya lalu pengsan. Bantuan CPR telah diberikan, namun mangsa gagal diselamatkan” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Jenazah mangsa telah dihantar ke unit forensik Hospital Labuan Nukleus Labuan untuk pemeriksaan lanjut dan didapati tiada sebarang kecederaan ditubuh mangsa. Siasata lanjut masih diteruskan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ab. Rahman Ali berkata, dalam kejadian seawal jam 4.17 pagi itu, dua daripada tujuh mangsa mengalami kecederaan melucur di bahagian di kaki kanan, manakala dua buah kenderaan turut hangus.
Beliau berkata, lapan jentera penyelamat serta 21 anggota telah dikerahkan ketempat kejadian bagi operasi menyelamat dan memadam kebakaran.
“Api berjaya dikawal daripada merebak kira-kira jam 5.37 lagi, bagaimanapun 80 peratus rumah tersebut terbakar dan punca kebakaran masih dalam siasatan” katanya.
Tujuh ahli keluarga yang ditimpa musibah itu, melibatkan seoarang warga emas serta kanak-kanak berumur lingkungan 4 hingga 13 tahun.