Ahmad (duduk tengah) bersama pelajar SPM 2025 yamg hadir pad majlis pengumuman keputusan SPM 2025 di dewan Sekolah Menengah ST. Anne Labuan.
LABUAN: Labuan merekodkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memberangsangkan dengan pencapaian melepasi peringkat kebangsaan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Amad Puteh berkata, seramai 1,189 calon iaitu 97.70 peratus layak dianugerahkan sijil SPM 2025.
Beliau berkata, bagi Pensijilan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang diduduki sembilan calon juga 100 peratus layak menerima sijil SPM berbanding lima calon CBPK pada SPM 2024.
Kejayaan ini katanya, mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan sistem pendidikan negara kekal bermutu dan inklusif kepada semua calon.
“Syukur kerana dari segi layak mendapat sijil, Labuan telah berjaya mengatasi pencapaian di peringkat kebangsaan sebanyak 97.70 peratus. Ia merupakan pencapaian yang baik untuk Labuan”, katanya selepas ditemui pada majlis pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2025 di Dewan Muhibbah, Sekolah Menengah ST Anne, Labuan, pagi kelmarin.
Tambahnya, peningkatan 0.01 peratus juga dicapai apabila 34 calon berjaya memperoleh keputusan A penuh semua mata pelajaran pada kali ini berbanding 30 calon pada tahun 2024.
Seramai 1,344 calon termasuk calon swasta dan persendirian menduduki peperiksaan itu di pulau ini.



