26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Jun 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sukarelawan BSMM tunjang khidmat masyarakat

MARIA (kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta


KOTA KINABALU: Setiap sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Sabah sehingga hari ini adalah tunjang kepada pembangunan perkhidmatan kepada masyarakat.


Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Maria David Edick berkata, bidang kesukarelawan merupakan nadi kepada usaha untuk membangunkan semangat prihatin kepada masyarakat sekeliling.


“BSMM bukan lagi nama yang asing di Negeri Sabah, berpegang kepada prinsip ‘di mana adanya sengsara, di sana ada kita’.


“Komitment ahli persatuan itu kukuh walaupun hidup sebagai sukarelawan itu sering dilihat sebagai ‘wira yang tidak didendangkan’.


“BSMM Negeri Sabah telah membuktikan bahawa anda adalah sebuah badan sukarela yang bukan saja komited malah adalah satu badan sukarela yang telah mencurahkan begitu banyak khidmat bakti dalam peranan membantu kerajaan,” katanya.


Menurut Maria, sepanjang tempoh 75 tahun dalam perkhidmatan kemanusiaan, BSMM telah membuat transformasi tersendiri dalam perkhidmatan.


“Contohnya pada ketika dahulu kita cuma melihat murid-murid sekolah unit beruniform BSMM bertugas ketika sukan tanpa ada kepakaran dan aset ambulans.


“Tapi pada hari ini BSMM Negeri Sabah sendiri merupakan salah satu rakan strategik kementerian kesihatan malaysia dalam menjalankan projek jaringan kerjasama perkhidmatan ambulans hotspot dan pra hospital talian 999 dan semua kakitangan adalah merupakan paramedik bsmm terlatih,” katanya.


Justeru, ujar beliau, matlamat untuk menjadikan BSMM negeri sabah sebagai satu badan sukarela yang dikenali bukanlah satu kerja yang mudah, kerana ia memerlukan komitmen dan semangat yang tinggi oleh semua warga BSMM untuk berganding bahu tanpa mengira bangsa, agama mahupun pangkat.


“Saya juga melihat peranan bsmm dalam konteks pengurusan bencana. Walaupun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 bermula 2 tahun lalu di mana Negeri Sabah juga berdepan dengan kes yang semakin meningkat saban hari, BSMM tetap membangun usaha memerangi bencana pandemik dan pada masa yang sama bersiap-siaga dalam menghadapi bencana alam.


“Saya juga amat berbangga melihat pencapaian BSMM melalui kutipan darah dalam beberapa siri program derma darah sejak 3 tahun kebelakangan ini, pengagihan bakul makanan kepada golongan B40, OKU, warga emas serta program perkhidmatan vaksinasi di kawasan pedalaman,” kata beliau.


Maria berkata demikian sempena majlis Perasmian Penutup Seminar Demi Kemanusiaan sempena Sambutan Perayaan 75 Tahun Sejarah Kemanusiaan BSMM yang diadakan di sin pada hari Sabtu.


“Penganjuran seminar ini satu usaha yang patut dipuji kerana merupakan usaha bagi kami di pihak kementerian, jabatan, agensi dan persatuan lain untuk mengetahui skop, tugas dan peranan bsmm dalam perkhidmatan masyarakat.


“Terima kasih kepada Datuk Asnan Yunus Chung. Terima kasih juga kepada International Committee Of The Red Cross (ICRC), ahli-ahli jawatankuasa kerja dan semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan seminar ini,” kata beliau.


Sementara itu, Maria memberitahu bahawa Kerajaan sentiasa menghargai peranan sukarelawan di negeri ini yang sanggup merisikokan diri sendiri dalam usaha menyampaikan bantuan dan menjalankan kerja menyelamat kepada masyarakat yang memerlukan.


“Semangat yang ada dalam diri sukarelawan ini juga selaras dengan salah satu tonggak konsep madani iaitu ihsan yang mementingkan sifat kemanusiaan sejagat tanpa mengira batas perkauman.


“Sewajarnya bulan BSMM dan barisan sukarelawan ini wajar diberikan penghargaan atas sumbangan bakti yang ditaburkan.


“Saya sangat berharap agar usaha-usaha sebegini menjadi contoh kepada lebih ramai masyarakat diluar sana untuk sentiasa bersedia dan menawarkan perkhidmatan apabila diperlukan,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN