GIMIK…James menandang bola sebagai gimik perasmian Pesta Sukan Dan Kebudayaan Pulau Jambongan
BELURAN: Sukan rakyat perlu diiktiraf sebagai acara wajib dalam setiap program kemasyarakatan kerana ia mampu mewujudkan suasana harmoni untuk merapatkan tali persaudaraan dikalangan masyarakat.
Menyatakan perkara itu, Adun Sugut, Datuk James Ratib berkata, acara-acara dalam sukan rakyat begitu menyeronokkan sehingga semua pihak yang menyertainya berasa terhibur dan saling berkerjasama tanpa mengira bangsa dan fahaman agama.
“Bayangkan dalam acara seperti tarik tali, para peserta daripada etnik berbeza sama-sama berjuang untuk mempastikan kemenangan kumpulan mereka. Dalam acara seperti itu, secara langsung ia mampu merapatkan persahabatan dan persaudaraan sesama kita”. Jelasnya ketika merasmikan Pesta Sukan Dan Kebudayaan Pulau Jambongan Beluran Tahun 2022 dekat sini pada Khamis.
James yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Negeri Sabah berkata, sukan rakyat turut memberi ruang kepada para ibu bapa dan ahli keluarga menyerlahkan rasa kasih sayang kepada kanak-kanak yang turut menyertai acara yang dipertandingkan.
Katanya, kanak-kanak yang menyertai acara sukan rakyat menghiburkan para ibu bapa dan ahli keluarga kerana ada yang berbakat selain mempamerkan aksi mencuit hati yang sudah tentu mewujudkan suasana kasih sayang mendalam.
“Saya turut terhibur melihat aksi-aksi masyarakat sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak yang menyertai acara yang dipertandingkan. Sebagai bapa kepada anak-anak, saya turut bangga melihat bakat kanak-kanak yang aktif dalam pertandingan sukan rakyat ini dan sudah tentu perasaan kasih sayang menggamit jiwa saya”. Tegasnya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan penduduk dikawasan itu untuk mempertahankan seni kebudayaan dan adat resam agar tidak dilupakan generasi akan datang.
Tegasnya, budaya dan adat resam yang diamalkan sejak turun-temurun antara nilai penting untuk mempastikan norma kehidupan masyarakat tidak lari daripada peraturan tradisional yang memberi pengajaran berharga khususnya kepada generasi muda.
“Para pemimpin masyarakat dan ibu bapa harus menerapkan nilai-nilai yang baik kepada generasi muda dan kanak-kanak sesuai dengan adat resam tradisional yang telah diwarisi zaman-berzaman daripada nenek moyang kita agar ia tidak hilang ditelan zaman”. Katanya.
Dalam masa sama, James juga menasihatkan golongan wanita khususnya suri rumah untuk melibatkan diri dalam sektor perniagaan kecil-kecilan yang boleh meningkatkan ekonomi keluarga.
Beliau berkata, pihaknya akan membina beberapa prasarana perniagaan kecil-kecilan seperti tapak penjualan hasil produk laut dan makanan selain membawa agensi kerajaan lain untuk mengadakan kursus kemahiran seperti jahitan, pembuatan kuih-muih serta masakan.
Dalam majlis itu, beberapa acara sukan rakyat dan kebudayaan telah diadakan antaranya tarik tali, lari dalam karung, timbang bola raga, bola sepak, bola tampar pantai, tarik daun nipah dan acara tarian serta nyanyian kebudayaan masyarakat Pulau Jambongan.
Turut hadir adalah Jalil Atang, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Sugut, Sharif Zakaria, Ketua Anak Negeri, Sharif Jaya Putera bin Sharif Attar, Pegawai Khas Adun Sugut dan Sharif Rosli bin Sharif Attar, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Jambongan serta penduduk setempat.