GIMIK…Datuk James menembak belon sebagai gimik perasmian penutupan Kejohanan Olahraga MSSD Beluran 2025, di Kompleks Sukan Beluran, pada Khamis
BELURAN: Sukan bukan sahaja mencipta kecemerlangan individu, tetapi juga menyatupadukan masyarakat, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa semua pihak agar bersama-sama menjungjung semangat ‘Majulah sukan untuk Negara’ sambil memastikan nilai-nilai murni dan integriti terus diterapkan dalam setiaap langkah dan usaha yang dijalankan.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian sempena Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Beluran tahun 2025 yang diadakan dekat sini pada hari Khamis.
“Sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya amat menyokong segala usaha ke arah pembangunan sukan dan pendidikan di peringkat akar umbi.
“Tahniah kepada semua pemenang, dan kepada yang belum berjaya, anggaplah ini sebagai pengalaman berharga untuk terus berusaha. Majulah sukan untuk kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan negara.
“Saya berharap program seperti ini akan terus disokong dan diperkasa agar kita dapat mencungkil lebih ramai bakat muda dari daerah Beluran untuk diketengahkan dan diberi peluang untuk mewakili daerah, negeri dan seterusnya negara pada masa akan datang,” kata beliau.
Beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Beluran, jawatankuasa penganjur khususnya pengelola, para pengadil, para jurulatih, guru-guru, dan semua yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini.
“Kepada para atlet muda harapan negara, saya ucapkan syabas dan tahniah atas semangat kesukanan yang ditunjukkan.
“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi adalah medan untuk mencungkil bakat, membina jati diri, serta memupuk nilai murni seperti disiplin, kerja berpasukan dan semangat juang yang tinggi,” jelas beliau.
Terdahulu, James telah menyumbangkan dana kewangan menjayakan kejohanan pada tahun ini.
Pada kejohanan kali ini, SMK Simpangan, Paitan nobatkan sebagai juara kategori sekolah menangah, manakala Zon Sugud, Paitan, menjuarai kategori sekolah rendah.



